KUALA LUMPUR - Semua 170 tiket penerbangan khas AirAsia yang diperuntukkan bagi penyokong skuad Harimau Malaya menyaksikan perlawanan separuh akhir kedua Piala AFF Suzuki antara Malaysia dan Thailand di Bangkok malam esok, telah habis dijual.
Jurucakap Unit Komunikasi Korporat Kementerian Belia dan Sukan (KBS) Nik Mohd Fitra Wan Jaafar berkata pakej bernilai RM500 itu habis dijual pada tengah hari tadi dan senarai nama penumpang akan diserahkan kepada AirAsia petang ini.
"Sambutan amat menggalakkan. Dalam masa kurang dua hari, tiket penerbangan khas ini habis terjual. Bagaimanapun, tiada perancangan untuk menyediakan penerbangan tambahan setakat ini," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Pakej ke Bangkok hasil kerjasama antara KBS dan AirAsia itu membabitkan kos penerbangan pergi balik termasuk cukai lapangan terbang, pengangkutan bas ke Stadium Supachalasai di Bangkok, tiket perlawanan, bagasi tujuh kilogram seorang serta makan dan minum dalam pesawat bagi penerbangan pulang.
Katanya, penerbangan itu akan berlepas dari Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) di Sepang pada 12.55 tengah hari esok dan pulang dari Bangkok ke LCCT pada 11.55 malam, iaitu selepas perlawanan pada hari sama.
Skuad bimbingan Datuk K.Rajagobal mencatat keputusan seri 1-1 pada separuh akhir pertama di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Ahad lepas.- Bernama
No comments:
Post a Comment