Tuesday, December 25, 2012

Pemain import punca kita merosot?



KUALA LUMPUR - Mungkinkah kehadiran pemain import dalam liga bola sepak tempatan menjadi antara punca kemerosotan pasukan kebangsaan, setelah kita gagal mempertahankan Piala Suzuki AFF 2012 baru-baru ini?

Andaian itu dibuat kerana sejak Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menghentikan sementara kemasukan pemain import dalam Liga Malaysia mulai musim 2009, skuad bola kebangsaan mencatat kejayaan mendadak.


Pada tahun pertama tanpa pemain import iaitu musim 2009, kita memenangi pingat emas Sukan SEA di Laos, iaitu pingat emas pertama acara bola sepak selepas 20 tahun.

Pada 2010, tanpa diduga kita muncul juara Piala Suzuki AFF buat pertama kali.

Tahun lalu, Malaysia mempertahankan pingat emas Sukan SEA di Jakarta.

Ketiga-tiga kejayaan tersebut dicapai ketika liga tempatan tidak melibatkan aksi pemain import,

Tanpa pemain import, ini memberi ruang kepada pemain tempatan menonjolkan bakat dan kemampuan mereka.

Namun mulai musim 2012, FAM kembali membenarkan pasukan tempatan menggunakan pemain import.

Ini menyekat peluang pemain tempatan mendapat tempat dalam pasukan terutama pada posisi serangan.

Kesan pertama yang dirasai akibat kemasukan semula pemain import, kita gagal mempertahankan Piala Suzuki AFF.

Mengulas pendapat tersebut, pengendali Terengganu, E. Elavarasan berkata, ada kebaikan dan keburukan dalam pengambilan pemain import terhadap sesebuah pasukan.

Malah katanya, ia turut memberi kesan kepada skuad kebangsaan.

"Keburukannya dirasai penyerang tempatan kerana keutamaan pada posisi berkenaan sudah tentu akan diberikan kepada pemain pemain import.

"Namun sebagai pemain profesional, pemain tempatan yang beraksi pada posisi penyerang seharusnya dapat menyesuaikan diri dengan kehadiran pemain import untuk menaikkan taraf permainan mereka seterusnya dapat memberikan saingan yang sihat," katanya.

Sejak Liga Super mula diperkenalkan pada 2004, pasukan tempatan mula dibanjiri pemain import yang hebat terutama pada bahagian serangan seperti Julio Cesar Rodriguez (Sabah), Zacharia Simukonda (Perlis) Keita Mandjou (Perak) dan Marlon Alex James (Kedah).

Kesan ketara daripada kemasukan pemain import ini ialah pada Piala Asia 2007 apabila Malaysia yang menjadi tuan rumah bersama, dibelasah teruk dalam saingan peringkat kumpulan dengan hanya menjaringkan satu gol dalam tiga perlawanan.

Lantaran itu mulai musim 2009 pengambilan pemain import dihentikan sementara.

Ini memberi peluang kepada pemain tempatan menonjolkan kemampuan dan dapat melahirkan penyerang muda berbakat.

Hasilnya kita mencatat kejayaan pingat emas Sukan SEA 2009 Laos dan Piala Suzuki AFF 2010.

Juga timbul persoalan adakah kehadiran pemain import dapat menarik penonton ke stadium?.

Wakil Ultras Malaya dan juga pengkritik bola sepak tempatan, Alfadli Awaludin berkata, pengambilan pemain import sebenarnya tidak membantu memenuhkan stadium kecuali beberapa pasukan utama serta peringkat separuh akhir dan akhir Piala FA dan Piala Malaysia.

"Ada atau tidak ada pemain import sebenarnya kita boleh untuk muncul juara Piala Suzuki AFF, Singapura ada pemain import dalam liga mereka.

"Malah dalam pasukan kebangsaan juga ada pemain import tetapi mampu muncul juara, Liga Thailand ada pemain import malah berjaya mara ke peringkat akhir.

"Juara atau tidak juara bukan kerana ada atau tidak ada pemain import, sebaliknya sistem dan struktur liga secara keseluruhan perlu diambil kira. Baik dari umur tujuh tahun sampai ke peringkat profesional perlu ada sistem dan strukturnya, pemain import hanya tujuan jangka masa pendek," katanya yang turut terkenal dengan laman blog, anakmemberontak.blogspot.com.

Legenda bola sepak negara, Shukor Salleh mempunyai pendapat yang sama bahawa pemain import dalam saingan liga tempatan tidak ada kena mengena dengan ketumpulan serangan skuad kebangsaan.

"Kita menurunkan pemain yang sama ketika kita muncul juara dua tahun lalu, masalah sebenarnya adalah kepada pemain kita sendiri yang tidak ada peningkatan sedangkan pasukan lain menunjukkan peningkatan.

"Setiap pemain tidak kira penyerang harus meningkatkan prestasi dan permainan, jurulatih juga harus mainkan peranan dalam hal ini, masalahnya kita masih lagi di takuk lama sedangkan pasukan lain jauh sudah ke depan," katanya.

1 comment:

  1. Cari Player & Team Bola Malaysia /
    Cari Game Friendly bola sepak padang & futsal. =>
    https://bola.pja.my

    Cari Player & Team Bola Malaysia

    ReplyDelete

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...