Saturday, November 17, 2012

Rajagobal singkir Azamuddin, Gopinathan


Harian Metro

KETUA jurulatih kebangsaan, Datuk K Rajagobal membuat kejutan apabila menggugurkan pemain sayap, Mohd Azamuddin Md Akil, sehari selepas Harimau Malaya dikecewakan keputusan seri 1-1 dengan Hong Kong pada aksi persahabatan antarabangsa Rabu lalu.

Turut menerima nasib sama, rakan sepasukan Azamuddin dari Pahang, R Gopinathan selepas gagal memikat pengendali negara itu biarpun diberi peluang beraksi dalam perlawanan itu.

Keputusan menyingkirkan Azamuddin mungkin didorong aksi buruk pemain itu ketika menentang Hong Kong biarpun sering mendapat tempat dalam skuad kebangsaan.



Pemain kelahiran Kuala Lipis itu berjaya meledak tiga gol dalam 11 penampilan termasuk ketika Malaysia menewaskan Sri Lanka 6-0 dan seri 2-2 dengan Singapura dalam aksi persahabatan tahun ini.

Bagaimanapun, pemain yang turut dikenali sebagai ‘Alex’ itu akur dengan keputusan Rajagobal biarpun hasrat untuk tampil buat kali pertama di kejohanan AFF tidak kesampaian.

“Keputusan itu mengecewakan tapi saya perlu hormati keputusan jurulatih (Rajagobal). Saya bersemangat untuk membantu skuad kebangsaan mempertahankan trofi Piala AFF tahun ini.

“Mungkin tahun ini bukan rezeki saya bersama skuad kebangsaan. Saya cuma mendoakan agar mereka berjaya dan mempamerkan aksi terbaik bagi merealisasikan hasrat itu,” katanya.

Keputusan menggugurkan Azamuddin dan Gopinathan menyaksikan Rajagobal kini hanya memiliki 24 pemain untuk bersaing merebut tempat dalam skuad 22 pemain ke kejohanan Piala AFF Suzuki yang bermula 25 November ini.

Sebelum ini empat pemain sudah digugurkan iaitu tiga pemain pertahanan, Rizal Fahmi Rosid, Amiridzwan Taj dan Nik Shahrul Mohd Azim serta seorang penyerang, Yong Kuong Yong.

Namun Rajagobal yang kini berada di Pangkor bersama pemain bagi kem motivasi selama tiga hari kembali memanggil pemain pertahanan Irwan Fadzli Idrus dan penyerang Ahmad Hazwan Bakri.

Adakah dua pemain baru dibawa masuk ini mampu mencuri tempat pada saat akhir, itu bakal terjawab jika mereka boleh mempamerkan aksi terbaik pada perlawanan terakhir persahabatan antarabangsa menentang Bangladesh di Stadium Shah Alam, Selasa ini.

Rajagobal hanya mengumumkan senarai akhir pemain sehari sebelum perlawanan pertama Kumpulan B menentang Singapura pada 25 November di Stadium Nasional Bukit Jalil.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...