SEKALIPUN kecergasannya belum di tahap maksimum akibat kecederaan, tonggak pertahanan Negeri Sembilan, Norhafiz Zamani Misbah sedia memikul tanggungjawab selaku kapten pasukan menghadapi Liga M musim depan, jika disenaraikan dalam kesebelasan utama.
Negeri Sembilan bakal memilih kapten baru selepas Mohd Shukor Adan berpindah ke Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Begitupun, bagi bekas pemain kebangsaan berusia 32 tahun itu, pengurusan berhak menentukan pemain yang layak memakai lilitan itu.
“Bagaimanapun, jika itu keputusan pengurusan, saya sedia memikulnya, namun semuanya belum pasti kerana fokus kini lebih kepada meningkatkan kecergasan.
“Pada asasnya kecederaan saya sudah pulih dan kini dalam proses mengembalikan kecergasan supaya dapat memberikan persembahan terbaik pada Liga Super.
“Saya harap segala perancangan berjalan lancar dan dapat berada dalam skuad utama,” katanya.
Pemain berasal dari Petaling Jaya itu antara tonggak berpengalaman skuad Hoben Jang Hoben dan bertekad kembali pada posisi asalnya dan bukan memanaskan bangku simpanan.
Mengenai pembentukan pasukan baru selepas empat pemain beralih ke pasukan lain, Norhafiz yakin persiapan pasukan tidak terjejas kerana pemain baru sudah membuktikan kemampuan masing-masing.
“Kami akan sama-sama membentuk gandingan mantap bagi mencipta kejayaan lebih cemerlang musim depan,” katanya yang selesa dengan corak latihan ketua jurulatih baru dari Portugal, Divaldo Elves.
No comments:
Post a Comment