Monday, November 19, 2012

‘The Titans’ laung amaran awal

Harian Metro


AWAS ‘The Red Warriors’, kini sudah ada ‘The Titans’ pula dalam Liga Super.

T-Team yang kini dikenali sebagai ‘The Titans’ mungkin tidak boleh meraih tiga kejuaraan besar seperti Kelantan musim lalu, namun ketua jurulatih baru, Peter Butler, mensasarkan kedudukan selesa di persada liga, enam bulan dari sekarang.

Butler yang menandatangani kontrak dengan T-Team semalam, berkata rancangan masa pendek dan panjang untuk T-Team sudah pun dirancang dan sekiranya semua berjalan lancar, ‘The Titans’ bakal menjadi pasukan yang digeruni lawan musim depan.

“Kerja kami bermula sekarang di mana kami akan membina asas kukuh dengan membawa masuk bukan sahaja pemain yang jujur, berdisiplin dan dahagakan kemenangan malah petugas lain seperti pakar kecergasaan dan pemakanan.



“Di bawah pengurusan baru kerajaan negeri, T-Team bukan lagi pasukan pelapis kepada Terengganu malah pasukan yang dijenamakan semula ini bakal menjadi saingan hebat semua pasukan Liga Super,” katanya.

Jurulatih berbangsa Inggeris yang turut menggalas jawatan pengurus pasukan itu juga gembira kerana George Boateng, 37, juga sah menjadi pemain T-Team selepas menandatangani kontrak di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, Terengganu semalam.


“Kebanyakan pasukan lain lebih berminat dengan pemain serangan dan pertahanan namun kami lebih suka jika ada pemain impot berkaliber seperti Boateng membantu jentera tengah,” kata bekas jurulatih kontroversi Terengganu itu.

Boateng, bekas pemain antarabangsa Belanda yang pernah mewakili kelab Feyenoord dalam liga Belanda, Coventry, Aston Villa dan Middlesborough di England, berkata dia juga tidak sabar untuk memulakan tugasan barunya bersama ‘The Titans’.

“Cuaca di Kuala Terengganu agak panas namun saya menyukai suasana di sini terutama penduduk tempatan yang cepat mesra dengan saya di samping pasukan mempunyai jurulatih yang mahir dengan selok-belok bola sepak.

“Mungkin cara permainan di sini agak perlahan berbanding Liga Inggeris tetapi itu akan membolehkan saya mempunyai lebih banyak masa mengawal bola tidak seperti di England di mana tempo permainannya jauh lebih pantas,” katanya.

Pemain kelahiran Ghana yang bermain untuk Nottingham Forest musim lalu dalam Liga Divisyen Satu England, berkata dia memilih untuk datang ke Kuala Terengganu cuma kerana mahu meneruskan kerjayanya dalam bola sepak.

“Saya ke sini bukan kerana mahu bercuti atau mahu melakukan kerja mudah untuk mendapatkan wang kerana saya bermain bukan kerana wang.

“Kali terakhir saya bermain untuk mendapatkan gaji rasanya ketika berumur 26 tahun dan kini saya cuma bermain kerana sukakan permainan ini dan yakin masih dapat melakukan yang terbaik untuk pasukan diwakili,” katanya.

Boateng juga berkata, sepanjang kerjayanya, dia tidak sesekali gentar untuk bermain di mana sahaja kerana sudah berdepan dengan pemain tengah terbaik dunia seperti David Beckham, Paul Scholes dan Zinedine Zidane.

Sementara itu, Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Datuk Mazlan Ngah yang menyaksikan majlis menandatangani kontrak itu berkata, penjenamaan semula T-Team mampu menyuntik semangat baru bukan sahaja kepada pemain malah penyokong pasukan.

“Kalau dulu T-Team tidak mempunyai ‘moniker’ atau nama jolokan, kini boleh gah dngan gelaran ‘The Titans’,” katanya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...