Saturday, November 24, 2012

Kafa terima sumbangan Pusat, Umno RM1.2j



Kafa terima sumbangan Pusat, Umno RM1.2 juta
Mustapa (kiri) menyampaikan replika cek RM1 juta kepada Annuar (kanan) sempena Karnival TRW, hari ini.


MACHANG - The Red Warriors (TRW) menerima sumbangan masing-masing bernilai RM1 juta daripada Kerajaan Pusat dan RM200,000 daripada Badan Perhubungan Umno Kelantan sebagai tanda sokongan bagi meneruskan saingan bola sepak musim depan di sini, hari ini.

Pengerusi Umno Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, sumbangan tersebut sebagai tanda sokongan kepada pasukan bola sepak Kelantan yang menunjukkan kejayaan luar biasa sepanjang musim ini.



Katanya, gelombang kejayaan TRW membuktikan kehebatan pasukan bola sepak Kelantan serta penyokong-penyokongnya.

“Saya berharap penyokong terus berdiri teguh di belakang TRW bagi memastikan lebih banyak kejayaan dapat digondol pada musim akan datang.

“Bola sepak bukan sekadar sukan tetapi platform yang mampu menyatupadukan rakyat tanpa mengira latar belakang dan parti politik,” katanya ketika berucap pada Karnival TRW di Sekolah Kebangsaan Machang 1 di sini.

Hadir sama, Pengerusi Majlis Sukan Negeri Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Datuk Yaakub.

Sementara itu, Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa  berkata, wang tersebut memberi sumbangan yang besar bagi memantapkan pasukan itu.

Katanya, setiap tahun pihaknya menerima sumbangan daripada Kerajaan Pusat seterusnya menjadi pemangkin kepada kejayaan pasukan itu.

“Kira-kira 30 peratus daripada dana pasukan setiap tahun adalah daripada Kerajaan Pusat dan kami berterima kasih kepada Perdana Menteri yang memberi kepercayaan yang tinggi kepada TRW.

“Biarpun ‘kehilangan’ pemain yang bernilai dan ada ura-ura yang mengatakan terdapat penaja yang ingin mengundur diri atas kehilangan itu namun Alhamdulillah , TRW menerima banyak tawaran penajaan bagi musim depan malah tidak keterlaluan jika dikatakan ia adalah penajaan terbanyak yang akan kami terima,” katanya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...