Saturday, November 10, 2012

Bonus hak mutlak KAFA - Annuar



KOTA BHARU - Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa menegaskan, pemberian bonus adalah hak mutlak persatuan dan ia tidak tertakluk dalam kontrak.

Beliau berkata, pemberian bonus tersebut adalah perkara yang dijanjikan persatuan, namun ia tidak pernah ada dalam kontrak yang ditandatangani pemain sebelum ini dan ia menjadi hak persatuan untuk menentukannya.

"Kali ini kita ada banyak bonus untuk diberikan kepada pemain seperti pemberian tanah, duit, pergi umrah, (melancong) Australia dan banyak lagi.


"Kita tidak putus lagi kepada siapa hendak bagi atau tidak, mungkin sebahagian pemain akan menikmati semua bonus yang diberikan, mungkin menikmati tiga, dua dan apa yang pasti semua akan dapat tidak kira sikit atau banyak," katanya ketika ditemui pemberita di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan penyerang sensasi kebangsaan Norshahrul Idlan Talaha yang menegaskan bahawa dia berhak mendapatkan bonus sebagai mana yang dijanjikan KAFA sebelum ini.

Utusan Malaysia kelmarin melaporkan bahawa KAFA tidak akan memberikan bonus kepada mana-mana pemain yang 'tidak setia' dan berkeras untuk berhijrah tanpa mendapat persetujuan daripada persatuan.

Dalam reaksinya, Norshahrul turut meluahkan rasa terkejut apabila mengetahui kenyataan Presiden KAFA bahawa tiada pemberian bonus kepada pemain yang meninggalkan Kelantan tanpa kebenaran persatuan.

Jelas Norshahrul, perkara tersebut sepatutnya tidak timbul kerana pemberian bonus merupakan hasil penat lelah yang dikecapi bersama Kelantan musim lalu.

Sementara itu, Annuar menambah, pihaknya mengambil sikap sederhana dan bersifat terbuka dengan mengadakan perbincangan serta mendengar maklum balas daripada mana-mana pemain berhubung isu pemberian bonus.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) perlu bersungguh-sungguh sekiranya terus berhasrat untuk mendapatkan Norshahrul.

Katanya, pihaknya sentiasa membuka pintu rundingan kepada pasukan Johor mahupun Norshahrul yang berhasrat menyarung jersi pasukan berkenaan dalam saingan Liga Malaysia musim depan.

Namun, katanya, perkara tersebut perlulah dilakukan mengikut saluran yang betul dan peraturan sedia ada kerana Norshahrul masih mempunyai baki kontrak yang akan berakhir pada hujung tahun hadapan.

"Saya fikir isu Norshahrul ini tidak usah banyak polemik, kalau keluar berita sensasi ia tidak membantu. Di peringkat ini yang perlu mengambil tindakan ialah pihak PBNJ kerana mereka yang ingin mendapatkan khidmat pemain tersebut.

"Sebagai contoh dalam soal tebus kontrak, pemain yang perlu berbuat demikian. Namun, dalam isu ini Norshahrul tidak pernah berbuat demikian. Kenyataan dalam akhbar sahaja tidak boleh diterima pakai.

"Kalau perpindahan ia melibatkan kelab atau pasukan, tetapi jikalau kelab yang minta untuk tebus kontrak itu tidak kena dengan peraturan. Jadi lebih baik kita duduk berbincang empat mata dan jangan bercakap melalui media dan buat rundingan antara kelab," katanya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...