MESKIPUN kehilangan penyerang berbisa, Patrick Ronaldinho Wleh yang berhijrah ke PKNS FC musim depan, jurulatih Sime Darby, Ismail Zakaria tidak menganggap itu satu kebimbangan buat pasukannya.
Sebaliknya beliau yang telah menemui pengganti, yakin pemain tersebut akan beraksi lebih baik daripada Ronaldinho.
“Saya sudah menilai aksinya dan menyifatkan pemain berusia 28 tahun ini mungkin lebih baik daripada Ronaldinho.
"Malah dia memenuhi semua kriteria yang saya tetapkan termasuk teknik dan tahap profesionalisme yang lebih tinggi," kata Ismail kepada Sinar Harian Online, hari ini.
Pada masa sama, Ismail turut yakin pemain yang pernah beraksi untuk kelab gergasi Croatia iaitu Karlo Primorac akan mempamerkan persembahan berkualiti bagi memastikan sasaran utama layak ke Liga Super 2014 tercapai.
"Primorac sudah dipilih dan dia akan mengetuai jentera serangan.
“Lebih penting dia tidak terikat dengan tugasan skuad Croatia, tidak seperti yang terjadi musim lalu apabila Ronaldinho terpaksa dilepaskan dalam tempoh tertentu kerana tugasan bersama Liberia," ujarnya lagi.
Selain penyerang kelab NK Istra 1961 itu, Ismail turut mengumumkan seorang lagi pemain kelahiran Croatia, Gorak Perak telah diikat Sime Darby dan bakal mengemudi barisan tengah.
“Mereka sudah tiga minggu di sini bagi menyesuaikan diri.
"Dan diharap mereka mampu melonjakkan cabaran kami selepas hanya enam pemain musim lalu kekal dengan selebihnya membuat keputusan berhijrah ke Selangor, PKNS FC, Johor, T-Team dan pasukan lain,” katanya.
No comments:
Post a Comment