Wednesday, November 21, 2012

Harimau sakit!

Harian Metro

KAWAL...Safee (tengah) dikawal ketat pemain Bangladesh.
KAWAL...Safee (tengah) dikawal ketat pemain Bangladesh.


APA lagi alasan ketua jurulatih Datuk K Rajagobal kali ini selepas menyaksikan Harimau Malaya seperti semakin ‘tenat’ apabila pasukan juara Asia Tenggara itu sekadar seri 1-1 menentang Bangladesh dalam aksi persahabatan antarabangsa di Stadium Nasional Bukit Jalil malam tadi.

Skrip sama diulangi ketika seri dengan Hong Kong minggu lalu dengan kesilapan pemain pertahanan di minit akhir meragut peluang Malaysia mendapat kemenangan moral menjelang sepak mula Piala Suzuki AFF Ahad ini.



Selepas percubaan pertama penyerang Norshahrul Idlan Talaha di depan gol pada minit kedua tersasar, permainan kemudian ternyata hambar.

Kesilapan sama seperti mudah kehilangan bola dan gerakan kurang tersusun masih lagi membelenggu pemain negara sedangkan mereka hanya berdepan Bangladesh yang lebih terkenal dengan sukan kriket.


Tiada percubaan tepat ke arah gol dalam tempoh 24 minit permainan sehinggalah tandukan Khyril Muhymeen Zambri yang menyambut sepakan sudut kapten Safiq Rahim menggegar gawang pasukan pelawat.


Ia jaringan pertama pemain Kedah itu di peringkat antarabangsa selepas meledak satu gol ketika membantu Malaysia menewaskan Nepal 4-0 dalam kejohanan Pestabola Merdeka Oktober 2008.

Bangladesh, pasukan di ranking ke-171 dunia berbanding Malaysia, 163, hanya sekali menguji Farizal Marlias menerusi sepakan Waly Faisal sebelum tamat babak pertama.


Beberapa pertukaran dilakukan Rajagobal pada separuh masa kedua namun skuad negara seakan tiada perubahan apabila bergelut untuk menguasai bola.

Biarpun Bangladesh yang dikendalikan Saiful Bari Titu kehilangan Pranotosh Kumer Das kerana menerima kad merah pada minit ke-77, usaha keras mereka untuk mencipta gol penyamaan berhasil enam minit kemudian.


Kesilapan Irwan Fadzli Idrus menjatuhkan Mithun Chowdhry mendorong pengadil Nagor Amir Noor Mohamed tidak teragak-agak menghadiahkan sepakan penalti.


Jahid Hasan Ameli menceriakan lebih 1,000 penyokong Bangladesh apabila tenang menyempurnakan sepakan itu menewaskan Farizal di minit ke-83.


Tiada lagi perlawanan ujian buat Harimau Malaya selepas ini yang akan memulakan kempen mempertahankan kejuaraan Piala AFF Suzuki Ahad ini menentang Singapura.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...