Friday, November 30, 2012

Harimau mesti asah kuku lagi


Harian Metro

BELUM masanya untuk Harimau Malaya mendabik dada meskipun juara bertahan itu mencatat kemenangan selesa 4-1 ke atas Laos dalam kempen kelayakan Kumpulan B Piala AFF kelmarin.

Kebangkitan skuad kendalian Datuk K Rajagobal dalam perlawanan itu selepas teruk dikritik ekoran aksi hambar ketika tumpas 0-3 di tangan Singapura pada perlawanan pembukaan memang wajar dipuji tapi sebenarnya kemenangan ke atas Laos sudah boleh dijangka kerana kalau ia tidak berlaku, ia ibarat satu lagi tragedi buruk kepada bola sepak tanah air.

Meskipun mendominasi sepenuhnya perlawanan dengan pasukan yang kurang pengalaman, masih banyak yang perlu diperbaiki skuad kebangsaan sebelum turun dalam aksi terakhir menentang Indonesia yang diibaratkan aksi ulangan final dua tahun lalu.



Indonesia yang dikendalikan jurulatih baru, Nil Maizar sekadar seri dengan Laos 2-2 tapi mereka mula menampakkan potensi sebenar dengan menumpaskan Singapura 1-0 untuk meneraju kumpulan dengan lima mata.

Rajagobal sedar hanya kemenangan boleh menjamin anak buahnya ke separuh akhir sementara skuad Garuda pula hanya memerlukan seri untuk mara.

Mengulangi kejayaan mengalahkan Indonesia 3-0 pada perlawanan pertama final 2010 di Stadium Nasional, Bukit Jalil bukan sesuatu yang mustahil buat Harimau Malaya namun jentera serangan yang diterajui Mohd Safee Sali dan Norshahrul Idlan Talaha perlu lebih tajam.

Malah pemain negara juga diingatkan supaya mengelak daripada melakukan kesilapan jika tidak mahu dihukum dengan kepantasan pemain Indonesia khususnya Andik Vermansyah.

“Saya kecewa dengan kesilapan pemain melakukan hantaran. Kita seharusnya menutup ruang dan membunuh perlawanan menentang Laos lebih awal, mujur kita masih boleh mendapat keputusan baik malam ini (kelmarin)... yang penting pemain tidak boleh mengulangi kesilapan dalam perlawanan penting.

“Saingan dalam kumpulan ini kembali terbuka. Semua pasukan mahu mencari kemenangan, malah Laos juga masih boleh layak.

“Sebagai jurulatih, saya tetap yakin dengan kemampuan pasukan saya. Percayalah kami. Saya optimis akan mendapat keputusan baik menentang Indonesia,” katanya.

Selain itu kreativiti jurulatih itu turut dituntut khususnya dalam pemilihan pemain selepas rombakan kecil dalam pasukan ketika menentang Laos tampak berhasil.

Pemain yang jarang mendapat tempat dalam kesebelasan utama khususnya Wan Zack Haikal Wan Noor yang meledak gol ketiga kelmarin dan Mohd Shakir Shaari yang bergandingan dengan kapten Safiq Rahim di bahagian tengah agak menyerlah.

“Shakir banyak merampas bola dan membuat hantaran dengan baik mungkin dia akan diturunkan lagi,” jelas Rajagobal

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...