Wednesday, November 28, 2012

Safiq seru rakan bangkit

Harian Metro


KETUA pasukan Harimau Malaya, Safiq Rahim menyeru rakan sepasukan bangkit meneruskan perjuangan meskipun mengakui perit kekalahan 0-3 di tangan Singapura pada aksi pertama Piala AFF masih dirasai.

Kekalahan itu meletakkan skuad kendalian Datuk K Rajagobal bakal turun dengan misi wajib menang ke atas Laos hari ini bagi menghidupkan peluang melepasi halangan Kumpulan B untuk mara ke separuh akhir.



Jelas Safiq, mereka perlu tampil lebih bersemangat menentang Laos yang mencipta kejutan mengikat Indonesia 2-2 pada aksi sulung mereka Ahad lalu.

“Kami harus belajar daripada kesilapan perlawanan lalu dan saya sendiri selaku kapten kesal dengan kekalahan kepada Singapura. Perlawanan dengan Laos kami wajib mendapatkan tiga mata, tidak boleh dapatkan keputusan seri atau kalah. Saya mahu mendapatkan keputusan yang baik pada perlawanan esok (hari ini) demi menghidupkan lagi peluang ke separuh akhir,” katanya selepas sesi latihan Harimau Malaya di Wisma FAM, semalam.


Ditanya mengenai kekuatan Laos yang sukar diramal, Safiq bekas pemain tengah Selangor yang berhijrah ke Johor musim depan berkata, tahap permainan semua pasukan sebenarnya semakin baik dan tiada siapa boleh mendabik dada mereka adalah pasukan pilihan.


“Tahap kekuatan semua pasukan bagi saya sebenarnya sama, persaingan semakin sengit pada kejohanan Piala Suzuki AFF kali ini. Kalau sebuah pasukan bermain baik mereka akan dapatkan keputusan yang bagus, jika bermain dengan buruk maka buruklah keputusannya.

“Apa yang mustahak, adalah aksi pasukan kita sendiri pada perlawanan itu nanti, tidak perlu fikirkan aksi pasukan lawan,” katanya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...