Tonggak Harimau Malaya, (duduk dari kiri) Norshahrul Idlan Talaha, Mohd. Safiq Rahim, K. Rajagobal (ketua jurulatih), Mohd. Safee Sali dan Khairul Fahmi Che Mat melayani peminat pada sesi bertemu penyokong di AEON Jusco Bukit Raja Klang, semalam. - UTUSAN/Saharuddin Abdullah |
KLANG - Walaupun 'disepak terajang' dengan pelbagai kritikan dalam persiapan menghadapi Piala Suzuki AFF, namun kapten Harimau Malaya, Safiq Rahim tetap optimis Malaysia mampu mempertahankan kejuaraan yang dimenangi pada 2010.
Tegas Safiq, segala kritikan tidak menjatuhkan moral dia dan rakan-rakan, sebaliknya menganggap ia sebagai pembakar semangat.
"Kejayaan 2010 merupakan detik paling manis dan bermakna bagi semua ahli pasukan dan penyokong bola sepak negara, jadi bagi mengulanginya saya amat menagih sokongan peminat agar hadir memenuhi segenap ruang stadium memberi sokongan padu kepada kami.
"Kami sudah bersedia dan yakin mampu untuk memberikan persembahan terbaik seterusnya membawa satu lagi sejarah dalam bola sepak negara dengan mempertahankan kejuaraan tersebut," katanya yang ditemui pada sesi skuad Harimau Malaya bertemu peminat di AEN Jusco, Bukit Raja di sini semalam.
Turut hadir Ketua jurulatih kebangsaan, Datuk K. Rajagobal serta tiga lagi tonggak skuad kebangsaan iaitu Safee Sali, Norshahrul Idlan Talaha dan Khairul Fahmi Che Mat.
Safiq, 25, yang bakal beraksi bersama johor pada musim depan juga menggesa rakan-rakan sepasukan supaya memberi komitmen 100 peratus kepada Piala Suzuki AFF 2012
Biarpun tidak mengharungi aksi persahabatan yang meyakinkan menjelang kejohanan, dia tetap percaya persiapan Malaysia berada dalam keadaan terbaik.
"Persediaan terbaik telah dilakukan. Persefahaman kami dipertingkatkan ketika mengikuti kem bina insan di Pangkor," katanya.
Sementara itu penjaring terbanyak Piala AFF 2010, Safee berkata, fokus dia dan rakan-rakannya fokus dengan misi mempertahan gelaran.
"Persiapan kali ini dua kali ganda lebih daripada yang kami dilakukan dua tahun lalu,'' ujarnya, yang turut berharap pengalaman beraksi di Indonesia mampu membantu skuad kebangsaan.
Malaysia akan membuka kempen dengan menerima kunjungan Singapura di Bukit Jalil, Ahad ini.
No comments:
Post a Comment