Wednesday, November 28, 2012

Mat Yo sah ke Johor


Harian Metro

SEGALA kemelut yang melanda Norshahrul Idlan Talaha berhubung perpindahan pemain yang sinonim dengan panggilan Mat Yo akhirnya terjawab selepas Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) mengesahkan pemain itu milik skuad Harimau Selatan pada saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

Setiausaha Kehormat PBNJ, Suhairi Hashim yang dihubungi petang semalam, mengesahkan dalam tempoh 24 jam ini Mat Yo akan menandatangani kontrak dua tahun dan setahun lanjutan (2+1) sekali gus meleraikan tanda tanya sama ada pemain paling bernilai tiga musim berturut-turut akan bersama skuad Harimau Selatan atau sebaliknya.



“Mat Yo akan jadi milik Johor. Tiada lagi masalah timbul berhubung status pemain itu dan saya sendiri ke Kuala Lumpur untuk mendapatkan tandatangan pemain itu yang mengesahkan penyertaan bersama skuad Harimau Selatan musim depan dan ia terpaksa memakan masa kerana pembabitan pemain itu bersama skuad Harimau Malaya.

“Apapun saya berterima kasih kepada Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) yang beri laluan kepada Mat Yo untuk meneruskan karier bola sepak bersama Johor dan saya juga yakin dengan kehadiran beliau bersama skuad Harimau Selatan sudah pasti menguatkan lagi pasukan itu menghadapi kancah Liga Super, musim depan.

“Dengan termeterainya perjanjian bersama Mat Yo dan PBNJ, saya berharap beliau akan beri sepenuh tumpuan kepada saingan Piala AFF yang sedang rancak berlangsung sekali gus mampu membawa skuad Harimau Malaya kembali menemui sentuhan kemenangan,” kata Suhairi ketika dihubungi, semalam.

Terdahulu, skuad Harimau Selatan sudah mengikat kontrak kapten Harimau Selatan, Safiq Rahim dan pemain kembar Aidil Zafuan dan Zaquan Adha Abd Razak termasuk Azmi Muslim, Nurul Azwan Roya dan Muslim Ahmad selain beberapa pemain lain yang bakal menguatkan skuad Harimau Selatan.

Berita gembira itu turut disambut baik pengurus merangkap ketua jurulatih, Fandi Ahmad yang kini sedang giat membuat persiapan skuad Harimau Selatan dan pastinya apa yang diidamkan legenda bola sepak Singapura itu untuk menggandingkan bekas pemain Sepanyol, Daniel Gonzales Guiza bergandingan bersama Mat Yo di jentera serangan kini menjadi kenyataan.


“Cukup melegakan dan saya berterima kasih kepada Kafa yang bersikap profesional apabila tidak membawa isu perpindahan Mat Yo menjadi lebih rumit, malah kita dapat selesaikan segala kemelut itu dengan semangat kesukanan, “Apa yang boleh saya lakukan sekarang merancang dulu program khas untuk Guiza dan Mat Yo dan apabila kedua-dua pemain itu digandingkan nanti sudah pasti tidak timbul rasa kekok walaupun saya hanya ada tempoh kurang dua minggu membuat persiapan terakhir menjelang saingan musim depan,” kata Fandi.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...