KAPTEN pasukan Kelantan, Mohd Badri Radzi berharap pemain yang bakal menyarung jersi no 9 yang pernah dipakai penyerang sensasi, Norshahrul Idlan Talaha lebih mantap sekali gus menguatkan jentera serangan The Red Warriors (TRW) untuk mempertahan tiga kejuaraan dimenangi musim ini.
Sehingga kini, siapa yang bakal menggantikan Norshahrul atau lebih dikenali sebagai Mat Yo selepas tidak tersenarai dalam barisan pemain TRW untuk musim depan belum diketahui.
Mohd Badri atau Piya berkata, dia tidak mahu terlalu memikirkan siapa pengganti Mat Yo, sebaliknya mengharapkan pemain yang bakal mengisi posisi penyerang itu lebih mantap daripada Mat Yo.
Katanya, kehilangan Norshahrul dalam pasukan amat dirasai selepas tiga tahun bersama TRW, namun perjuangan pasukan perlu diteruskan.
“Kehilangan Mat Yo memang dirasai, namun kita perlu menerima realiti yang dunia bola sepak terpaksa berdepan masalah kehilangan pemain bintang. Apa yang kita harapkan pihak pengurusan dapat mencari pengganti sesuai, jika boleh lebih baik daripada Mat Yo bagi menggalas tugas di barisan depan.
“Memang tidak dinafikan Mat Yo penyerang terbaik dan banyak membantu pasukan mencipta sejarah baru dalam bola sepak negeri ini terutama dalam merangkul tiga kejuaraan trebel musim ini,” katanya selepas menerima pakej umrah tajaan kerajaan negeri pada Majlis Jamuan Rakyat dan Ifthor Perdana Bersama Menteri Besar kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bagi meraikan pemain The Red Warriors dan Penyokong Kelantan di Dataran Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, malam kelmarin.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Insan, Sukan dan NGO negeri, Datuk Abdul Fattah Mahmood berkata, pihaknya sudah memberikan pakej umrah seperti mana dijanjikan dan menyerahkan kepada Persatuan Bola Sepak Kelantan, (Kafa) untuk memutuskan tarikh bagi mengerjakan umrah berkenaan.
“Sumbangan pakej umrah itu diberikan kepada pemain beragama Islam dan kepada mereka yang bukan Muslim, kita beri sumbangan wang yang sama nilai dengan pakej umrah berkenaan,” katanya.
No comments:
Post a Comment