BEKAS pemain Selangor, Azidan Sarudin yang mencetuskan kontroversi berhubung isu perpindahannya ke Pahang dan Perak selesai apabila memilih skuad Tok Gajah sebagai pasukan baru bagi menghadapi saingan Liga Malaysia musim depan.
Justeru, pemain kelahiran Sungai Besi, Kuala Lumpur itu berharap kontroversi yang berlaku sebagai pengajaran berguna dan menjadikan dia lebih matang.
Menurut Azidan, dia yang beralih angin ke Pahang selepas bersama Selangor selama dua musim sejak 2011 menjanjikan komitmen tinggi bagi membantu negeri itu meraih gelaran juara.
“Saya berterima kasih kepada pengurusan PBNP (Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang), khususnya jurulatih (Dollah Salleh), rakan sepasukan dan penyokong yang menyokong saya.
“Sebagai balasan, saya tekad membantu Pahang meraih gelaran juara. Kontroversi ini akan mematangkan saya untuk menjadi lebih matang dan tumpuan kini untuk berada dalam kesebelasan utama,” katanya.
Baru-baru ini, Azidan yang beraksi di posisi tengah mencetus kontroversi antara PBNP dan Persatuan Bola Sepak Negeri Perak (Pafa) apabila meluahkan hasrat mahu bersama skuad Seladang.
Namun, PBNP terlebih dulu menebus baki setahun kontrak dengan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) ketika Pafa belum membuat keputusan membayar pampasan.
Berikutan itu, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) terpaksa menjadi orang tengah menyelesaikan isu itu dan akhirnya Azidan sah milik Pahang.
No comments:
Post a Comment