THAILAND menjadi pasukan pertama mengesahkan tempat ke separuh akhir Piala AFF apabila menewaskan Myanmar 4-0 dalam saingan Kumpulan A di Stadium Rajamangala di Bangkok malam tadi dengan penyerang berbisanya, Teerasil Dangda meledak hatrik pertama kejohanan.
Kemenangan kedua berturut-turut terbabit membolehkan juara tiga kali kejohanan itu mengumpul enam mata untuk menghuni kedudukan teratas, diikuti Filipina yang meraih tiga mata manakala Vietnam dan Myanmar masing-masing satu.
Skuad kendalian Winfried Schafer itu kini boleh merencanakan percaturan di separuh akhir sama ada mahu bergelar juara atau naib juara Kumpulan A ketika satu lagi baki perlawanan menentang Vietnam bakal berlangsung pada Jumaat ini dengan Filipina perlu mencatatkan kemenangan ketika bertemu Myanmar seandainya mahu mengiringi Thailand.
Menentang Myanmar malam tadi, Thailand jelas berjaya mengatasi corak permainan agresif Myanmar yang terdesak mencatatkan kemenangan selepas sekadar seri pada perlawanan pertama menentang Vietnam.
Teerasil yang menjadi harapan Thailand untuk menyinar dalam kejohanan ini akhirnya membuktikan kemampuannya apabila membuka jaringan pada minit ke-20, diikuti dua jaringan pada separuh masa kedua sekali gus menjadikan penyerang Muangthong United itu penjaring terbanyak ketika ini.
Satu lagi jaringan tuan rumah hadir menerusi tandukan pemain gantian, Apipu Suntornpanavej pada minit ke-60.
Terdahulu pada perlawanan awal, Filipina mengejutkan juara edisi 2008, Vietnam hasil jaringan tunggal pemain gantian, Emelio Caligdong pada minit ke-85 bagi membolehkan skuad kendalian Michael Weiss meraih kemenangan pertama selepas tewas kepada Thailand pada perlawanan pertama, Sabtu lalu.
No comments:
Post a Comment