SKUAD negara jelas masih ‘kehausan’ perlawanan persahabatan hinggakan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) terpaksa merancang mengadakan satu lagi perlawanan persahabatan menentang Bangladesh pada 20 November ini.
Bagaimanapun Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad berkata, perlawanan terbabit belum disahkan Bangladesh dan beliau berharap mendapat maklum balas selewat-lewatnya minggu depan.
“Kami belum mendapat sebarang maklum balas sama ada mereka setuju atau sebaliknya. “Perlawanan ini dirancang kerana diminta ketua jurulatih negara, Datuk K Rajagobal yang mahu satu lagi perlawanan persahabatan sebelum memulakan aksi Piala AFF,” katanya ketika dihubungi petang semalam.
Azzuddin berkata, sekiranya Bangladesh tidak setuju, skuad negara mungkin terpaksa menentang pasukan tempatan.
“Kami cuba memanfaatkan kehadiran Bangladesh di Asia Tenggara kerana mereka dijadual menentang Thailand pada 17 November,” katanya.
Hong Kong yang dijadual menentang skuad negara di Stadium Shah Alam, Rabu ini pada awalnya menjadi persiapan terakhir namun sebaliknya berlaku andai Bangladesh mengesahkan kehadiran mereka di Kuala Lumpur.
Dua aksi persahabatan menentang Vietnam dan Thailand dalam tempoh dua minggu lalu memberikan keputusan negatif kepada skuad negara apabila kecundang 0-1 dan 0-2 sekali gus menimbulkan kebimbangan kepada peminat dan pemerhati bola sepak tempatan.
Sementara itu, Azzuddin mengesahkan tiket untuk perlawanan peringkat kumpulan Piala AFF di Kuala Lumpur berharga RM30 untuk dewasa dan RM10, kanak-kanak.
No comments:
Post a Comment