BEBERAPA pasukan Liga Malaysia diharap melepaskan sembilan pemain yang menjadi impian pengendali Harimau Muda A, Ong Kim Swee untuk bersama skuadnya menggalas cabaran mencatatkan hatrik Sukan Sea yang berlangsung di Myanmar penghujung tahun depan.
Antara pemain yang mendapat perhatian untuk ditawarkan kontrak bersama Harimau Muda A adalah pemain sensasi Sabah, Rozaimi Abd Rahman, Mohd Zubir Azmi (Terengganu), Nik Mohd Shahrul Azim Ab Halim (Kelantan) dan Mohd Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham dari PKNS FC.
“Saya harap sembilan pemain ini diberikan kebenaran bersama skuad ini bagi melakukan persiapan menghadapi Sukan Sea 2013 di Myanmar. “Saya memberi ruang kepada pemain terbabit berbincang bersama pasukan masing-masing hingga Rabu ini untuk memberikan kata putus.
“Andai ada yang gagal, saya terpaksa mencari pemain lain. “Namun saya sememangnya berharap mereka dilepaskan demi kepentingan negara walaupun memahami ada antara pemain terbabit masih mempunyai baki kontrak,” katanya yang turut akan memanggil Ashari Chuchu yang perlu menjalani proses pemulihan kerana pembedahan lutut di Sarawak.
Kim Swee bagaimanapun boleh menarik nafas lega apabila Rozaimi dilapor sudah dilepaskan Persatuan Bola Sepak Sabah selain beberapa pemain lain yang berada dalam senarainya. Mengenai enam pemainnya yang dikhabarkan mendapat perhatian kelab di Portugal, Kim Swee berkata, ia petanda yang baik apabila pemain tempatan mula mendapat perhatian kelab Eropah.
“Namun segala rundingan atau perbincangan termasuk pengumuman harus melalui Persatuan Bola Sepak Malaysia yang juga majikan pemain Harimau Muda.
“Ia perlu dilakukan mengikut prosedur ditetapkan,” katanya yang mengaku terkejut dengan perkhabaran itu.
Kim Swee bagaimanapun sedia melepaskan pemain terbabit namun kelab berkenaan perlulah memberikan ‘keistimewaan’ seperti dibenarkan beraksi pada Sukan Sea 2013.
“Umum mengetahui Sukan Sea bukan berada dalam kalendar Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) dan kelab tidak wajib melepaskan pemain. “Apa yang bakal berlaku kepada saya jika enam pemain utama ini tidak dilepaskan? Oleh itu perlu ada perbincangan seperti yang ditetapkan kepada kelab diwakili Mohd Nazmi Faiz Mansor,” katanya.
Jelas Kim Swee, pemain tengah berbakat negara yang beraksi bersama kelab SC Beira Mar di Portugal sudah dipastikan untuk diberikan pelepasan bersama skuadnya bagi mempertahankan pingat emas Sukan Sea 2013.
Sementara itu Kim Swee turut memuji pemain sayapnya, Wan Zack Haikal Wan Noor yang dipilih sebagai Pemain Pilihan Peminat Liga Singapura dan dia bersama Gary Steven Robbat turut dicalonkan dalam kategori Pemain Muda Terbaik yang bakal diketahui keputusannya esok.
No comments:
Post a Comment