Saturday, November 24, 2012

Hazwan sandaran senjata rahsia Harimau Malaya


Harian Metro

KEHADIRAN Ahmad Hazwan Bakri mampu menjadi senjata rahsia buat skuad Harimau Malaya untuk menggempur kubu lawan dalam kempen Piala AFF kali ini.

Tanpa banyak diberi peluang dalam skuad kebangsaan sebelum ini, pemain berusia 21 tahun itu berjaya memikat hati pengendali negara, Datuk K Rajagobal menyenaraikan namanya dalam senarai akhir 22 pemain yang diumum semalam.

Biarpun dikatakan menumpang tuah kerana menggantikan Mohd Zaquan Adha Abd Radzak yang mengalami kecederaan lutut pada saat akhir, Hazwan bertekad membuktikan kemampuan meskipun bakal tampil buat kali pertama pada kejohanan dwi tahunan itu.



“Saya berterima kasih kepada jurulatih kerana memberi kepercayaan kepada saya untuk bersama skuad kebangsaan. Tapi saya perlu terus berusaha kerana bukan mudah mendapat tempat beraksi memandangkan saya perlu bersaing dengan pemain lebih senior,” katanya yang teruja dengan prospek bergandingan dengan penjaring terbanyak Piala AFF 2010, Mohd Safee Sali.

Hazwan yang meledak lapan gol dalam kempen Liga Singapura bersama Harimau Muda A mempunyai rekod baik biarpun hanya dua kali bersama skuad kebangsaan.

Dia mencuri tumpuan dengan meledak hatrik ketika membantu Harimau Malaya menumpaskan Sri Lanka, 6-0 April lalu dan beraksi sebagai pemain gantian menentang Bangladesh yang berkesudahan seri 1-1 Selasa lalu.

Pada perlawanan terbaru itu, Hazwan diarah beraksi di posisi sayap kiri oleh Rajagobal.

“Posisi sebenar saya adalah penyerang tapi tidak ada masalah untuk bermain di bahagian sayap kerana itu posisi saya ketika bersama Kuala Lumpur sebelum ini. Terpulang kepada jurulatih dan sebagai pemain saya hanya perlu bersedia dan memberikan aksi terbaik jika diberikan peluang.” 

Selain Hazwan, turut merasai pengalaman pertama bersama skuad kebangsaan mempertahankan kejuaraan Piala AFF di laman sendiri adalah pemain tengah bertahan, Mohd Shakir Shaari.

Shakir yang membantu Kelantan mencipta trebel musim ini antara tonggak tengah selain Mohd Amar Rohidan, Safiq Rahim, Gary Steven Robbart dan Baddrol Bakhtiar.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...