Friday, November 23, 2012

Semangat Alex membara



KUALA LUMPUR - Bagaikan mati hidup semula, itulah situasi yang mungkin sesuai disamakan dengan nasib penyerang dari Kuala Lipis, Pahang, Azamuddin Akil yang diberi peluang kedua bersama Harimau Malaya selepas digugurkan pada pertemuan dengan Hong Kong, 14 November lalu.

Kecederaan yang dialami Zaquan Adha Abdul Razak pada minit ke-57 pada perlawanan menentang Bangladesh memberikan seribu satu hikmah buat Azamuddin yang lebih dikenali sebagai Alex di kalangan peminat kembali membuktikan dirinya bersama skuad negara.



Menjaringkan 13 gol bersama Tok Gajah musim ini, dia bersedia diturunkan di mana-mana posisi sama ada selaku penyerang atau sayap kanan serta bersedia mengubah nasib negara yang mengalami kemarau kemenangan dalam empat perlawanan.

"Bagaikan tidak percaya apabila mendapat panggilan telefon daripada penolong jurulatih, Tan (Cheng Hoe) selepas perlawanan dengan Bangladesh yang mana jurulatih mahukan saya melapor diri esok.

"Peluang ini saya tidak akan sia-siakan ekoran telah digugurkan sebelum ini dan berjanji akan lebih fokus jika jurulatih membuat keputusan menurunkan saya dalam perlawanan dengan Singapura.

"Apa yang berlaku pada saya sebelum ini (digugurkan) memberikan hikmah tersendiri kerana membuatkan saya berkerja lebih keras untuk mengekalkan tempat.

"Tidak kira di posisi sayap kanan atau penyerang, saya bersedia... Memang semangat saya semakin berkobar-kobar membantu skuad negara mempertahankan kejuaraan Piala Suzuki AFF," katanya yang ditemui selepas sesi latihan pemain di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Mampu melakukan kepantasan larian 100 meter antara 11 dan 12 saat, Azamuddin yang berketinggian 1.72 meter mengakui Singapura lawan yang bukan mudah ditewaskan kerana mempunyai kebolehan teknikal yang tinggi.

"Pemain mereka mempunyai keupayaan menguasai bola di kawasan tengah dan kita perlu berhati-hati dengan kemampuan mereka.

"Memori jaringan antarabangsa pertama ketika menentang Singapura kekal terpahat dalam ingatan saya dan berazam mahu menjaringkan gol sekali lagi ke atas mereka pada Ahad ini," katanya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...