AKSI buruk selepas diikat 1-1 menentang pasukan kerdil, Bangladesh yang beraksi 10 pemain kelmarin memberi kesan kepada moral pemain Harimau Malaya yang hanya mempunyai masa tiga hari untuk pulih sebelum turun pada perlawanan pertama Piala Suzuki AFF.
Jika sebelum ini kalah kepada Vietnam 0-1 dan Thailand 0-2 dalam aksi persahabatan yang dianggap eksperimen bagi pengendali negara, Datuk K Rajagobal, keputusan seri dengan Hong Kong dan Bangladesh di laman sendiri dalam tempoh seminggu menyebabkan skuad juara bertahan itu berdepan krisis.
Situasi itu nyata mendapat perhatian Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Sultan Ahmad Shah yang hadir di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam untuk mengadakan pertemuan dengan jurulatih dan pemain.
Menurut sumber, lawatan mengejut Sultan Ahmad Shah itu bagaimanapun diadakan secara tertutup di auditorium selama hampir dua jam bermula kira-kira jam 10 pagi.
Pertemuan itu juga dilihat sebagai motivasi tambahan buat pemain ketika tekanan yang mereka rasai semakin memuncak menjelang perlawanan pertama menentang Singapura di Stadium Nasional Bukit Jalil, Ahad ini.
Rajagobal mengaku selepas perlawanan dengan Bangladesh kelmarin tiada apa lagi yang boleh dilakukan dalam tempoh kritikal ini melainkan menaikkan semula semangat pemain.
“Dalam situasi kritikal ini, saya perlu memberi motivasi kepada pemain. Sebagai jurulatih saya perlu fikirkan perkara positif, sekarang ini masa yang cukup kritikal untuk memastikan pemain kembali mendapat momentum,” katanya.
Beliau mengaku terkejut dengan prestasi longlai anak buahnya yang membenarkan Bangladesh bangkit mengikat kedudukan menerusi sepakan penalti, Jahid Hasan Ameli di penghujung permainan sedangkan Malaysia di ranking ke-163 dunia, sepatutnya tidak berdepan masalah menundukkan lawan berkedudukan 171 itu.
Persoalannya, tidak cukupkah program motivasi tiga hari di Pulau Pangkor minggu lalu yang dikatakan kembali memberikan kesegaran, namun sebaliknya yang berlaku apabila membuatkan pemain tidak bertenaga.
“Perlawanan itu sungguh mengecewakan, saya terkejut melihat pemain keletihan meskipun pada awal aksi, kami bermain baik. Pemain saya seperti tidak bertenaga dan gagal mengatur gerakan dengan baik. Saya menantikan perlawanan menentang Singapura dan semua pemain perlu sedar tiada alasan lagi selepas ini,” katanya.
No comments:
Post a Comment