Friday, November 16, 2012

Johor sambar pemain Serie A



JOHOR BAHRU - Skuad Harimau Selatan terus berbelanja besar apabila bakal menyambar seorang lagi pemain import, Simone Del Nero, iaitu bekas pemain Lazio yang beraksi dalam Serie A, selepas mengikat pemain Getafe secara pinjaman, Daniel Guiza.

Jika semuanya berjalan lancar, Del Nero yang berusia 31 tahun bakal tiba ke negeri ini hari ini bagi membincangkan kontraknya bersama skuad Johor.

Setiausaha Kehormat Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), Suhairi Hashim berkata, sidang akhbar dan sambutan untuk meraikan kedatangan Del Nero dijadual diadakan pukul 3 petang di sebuah hotel di sini, hari ini.

Ketibaan pemain tengah itu bakal diumumkan Presiden PBNJ, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Del Nero pernah bermain untuk skuad Bawah 21 Itali yang merangkul kejuaraan Kejohanan Bola Sepak Eropah UEFA pada 2004. Pasukan sama juga berjaya membawa Itali memenangi pingat gangsa Sukan Olimpik 2004.


Bagaimanapun, dia tidak pernah dipanggil untuk bermain mewakili pasukan senior Itali.

Karier Del Nero bermula dengan bermain untuk kelab Empoli sebelum berpindah ke Brescia pada 2000, namun kemudian dipinjamkan kepada kelab Livingston dalam Liga Scotland bagi musim 2001/2002.

Del Nero kemudian kembali ke Brescia untuk musim 2002/2003 sebelum sekali lagi dipinjamkan ke Palermo dalam Serie B.

Pada 2007, selepas kontraknya dengan Brescia tamat, kelab gergasi Lazio menyambar Del Nero dengan mengikat kontrak selama lima tahun, namun disebabkan kecederaan, dia hanya sempat membuat beberapa kali penampilan.

Dia kemudiannya menjalani pembedahan sebelum Del Nero sekali lagi dipinjamkan ke Kelab Cesena dalam saingan Serie A.

Kehadiran Del Nero memperlihatkan kesungguhan Johor untuk memberi cabaran dalam Liga Malaysia selepas mengikat Guiza, yang juga pernah beraksi di Mallorca dalam La Liga.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...