KETUA Jurulatih Pahang, Dollah Salleh dan Penolong Pengurus, Zainal Abidin Hassan enggan mengulas kedudukan sebenar bekas pemain Selangor, Azidan Sarudin.
Mereka menyerahkan kepada Setiausaha Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP), Fuzzemi Ibrahim untuk memberi kenyataan.
Namun Fuzzemi juga memilih ‘jalan selamat’ dengan hanya memberikan jawapan ringkas: “No komen. Kita tunggu keputusannya nanti.” Tolak-menolak antara Dollah, Zainal dan Fuzzemi itu mengeruhkan lagi keadaan sedangkan peminat skuad Tok Gajah tidak senang dengan kenyataan Azidan yang menyuarakan hasrat untuk mewakili Perak sedangkan PBNP dilapor sudah mendapatkan surat pelepasan dari Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS).
Hingga kini, kedudukan sebenar Azidan masih menjadi tanda tanya dan kelibatnya juga tidak kelihatan ketika pemain lain giat menjalani latihan sejak lebih seminggu lalu.
Entah kenapa, Dollah dan Zainal seakan berpakat menutup mulut masing-masing dan menyerahkan sepenuhnya kedudukan Azidan kepada PBNP dan difahamkan, Azidan hingga kini masih belum menandatangani kontrak bersama Tok Gajah.
Sementara itu, menurut sumber, keputusan muktamad sama ada Azidan menjadi milik Pahang atau tidak akan diumum selewat-lewatnya hujung minggu ini.
“Saya tidak dapat memberi keputusan tapi percaya isu ini berakhir secepat mungkin,” katanya.
Sejak dikhabarkan bakal mewakili Pahang untuk saingan Liga Super musim depan, Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa), Datuk Zainol Fadzi Paharuddin menegaskan pemain itu sebenarnya mahu mewakili Perak.
Kenyataan itu sekali gus menimbulkan kontroversi kerana Pafa mendakwa Azidan tidak mahu bersama Pahang dan lebih tertarik menyertai skuad Seladang.
Zainol Fadzi juga melahirkan kekeliruannya apabila mendakwa menerima dua keputusan berbeza daripada FAS mengenai perpindahan pemain tengah itu.
“Satu surat menyatakan Azidan sudah dilepas dan meminta pampasan tapi tidak lama kemudian FAS hantar surat mengatakan pemain itu untuk Pahang sedangkan pemain itu sendiri menyatakan keinginan menyertai Perak,” katanya.
No comments:
Post a Comment