Monday, November 12, 2012

Harian Metro


PERSATUAN Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) terus ligat mendapatkan pemain berstatus bintang apabila sedang ‘merisik’ pemain kebangsaaan, Mohd Khyril Muhymeen Zambri untuk beraksi bersama Johor pada saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

Setiausaha Kehormat PBNJ, Suhairi Hashim berkata dua dan tiga pemain kebangsaan sedang diintai Johor bagi menyertai skuad Harimau Selatan dalam usaha memantapkan barisan terbaik sebelum Liga Super bermula Januari depan.

“Memang kita ada perancangan untuk mendapat pemain kebangsaan ini dan proses perbincangan mendapatkan khidmat mereka masih berjalan dan belum ada kata putus lagi.

“Khyril Muhymeen antara pemain kita pikat dan hanya menunggu jawapan sahaja. Pemain itu juga ada menyatakan hasrat untuk bersama Johor.

“Apapun difahamkan dia sudah menandatangani perjanjian persefahaman dengan Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) dan kita akan rujuk dahulu sama ada persatuan itu sudi melepaskannya atau tidak.

“Apa yang kita lakukan tetap mengikut prosedur Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan langsung tidak membelakangi mana-mana pihak terutama badan induk bola sepak negara,” katanya.

Arena Metro sebelum ini melaporkan, Presiden KFA, Datuk Seri Azizan Abdul Razak menegaskan persatuan itu rela melepaskan Khyril Muhymeen seandainya mendapat tawaran lebih baik kerana itu cara bagi pemain mendapat pengalaman baru bersama pasukan lain.

Johor kini sudah mengikat pasangan kembar, Mohd Aidil Zafuan dan Zaquan Adha Abd Radzak, Azmi Muslim, Muslim Ahmad, Nurul Azwan Roya dan bakal menandatangi kontrak dengan kapten Selangor, Safiq Rahim selain sudah mendapat khidmat bekas pemain Sepanyol, Daniel Gonzales Guiza.

“Mengenai status pemain import, Johor sudah melengkapkan kuota itu apabila mendapatkan bekas pemain Johor United, Andre Francisco Da Silva,” kata Suhairi.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...