RASA kecewa digugurkan daripada skuad kebangsaan minggu lalu cukup perit buat Azamuddin Akil dan pemain sayap itu bertekad tidak akan mengulangi kesilapan apabila diberikan peluang kedua oleh ketua jurulatih Datuk K Rajagobal.
Pemain Pahang itu mendapat panggilan mengejut Rajagobal kelmarin untuk menyertai semula latihan skuad kebangsaan selepas Mohd Zaquan Adha Abdul Radzak mengalami kecederaan selepas masuk sebagai pemain gantian ketika Malaysia seri 1-1 dengan Bangladesh dalam aksi persahabatan kelmarin.
Bagi Azamuddin atau turut dikenali sebagai Alex, peluang untuk merebut tempat dalam skuad 22 pemain bagi kejohanan Piala Suzuki AFF kali ini tidak akan disia-siakan.
“Saya mahu mengucapkan terima kasih kepada jurulatih kerana masih menaruh keyakinan terhadap saya. Mungkin ini rezeki saya kerana dapat kembali bersama pasukan kebangsaan dan saya berazam untuk memperbaiki corak permainan saya,” katanya.
Azamuddin gagal beraksi cemerlang dalam tiga aksi persahabatan ketika Harimau Malaya tumpas di tangan Vietnam 0-1, Thailand 2-0 dan seri 1-1 kepada Hong Kong yang menjadi kemuncak Rajagobal bertindak menggugurkannya bersama seorang lagi pemain R Gopinathan Khamis lalu.
Pemain kelahiran Kuala Lipis itu sebelum ini berjaya meledak tiga gol dalam 11 penampilan termasuk ketika Malaysia menewaskan Sri Lanka 6-0 dan seri 2-2 dengan Singapura pada perlawanan persahabatan.
Menurut Azamuddin, dia tidak berdepan masalah untuk bermain di posisi sayap bersama skuad kebangsaan meskipun beraksi sebagai penyerang dengan pasukan Pahang.
“Ramai yang mengatakan saya tidak ‘selesa’ untuk beraksi sebagai pemain sayap berbanding penyerang tetapi sebenarnya, saya tidak kisah diletakkan pada mana-mana posisi,” jelasnya yang mahu tampil kali pertama di kejohanan paling berprestij di rantau Asia Tenggara itu.
No comments:
Post a Comment