Saturday, November 17, 2012

Harian Metro


ANGIN Pulau Pangkor diharap mampu meredakan tekanan dihadapi skuad Harimau Malaya kendalian Datuk K Rajagobal pada masa ini.

Program selama tiga hari bermula semalam di Pan Pacific Resort, Perak diatur tepat pada waktunya ketika 24 pemain amat memerlukan rehat serta program motivasi untuk menyuntik semangat menjelang kejohanan Piala AFF Suzuki yang bermula Ahad depan.

Menurut pengurus pasukan kebangsaan, Datuk Seri Subahan Kamal, selepas keletihan mengharungi kempen Liga Malaysia serta aksi persahabatan antarabangsa sebelum ini, pemain negara harus diberi rehat sebelum kembali fokus terhadap misi mempertahankan kejuaraan.



“Walaupun masa ini digunakan untuk pemain berehat tapi ia tetap diisi pelbagai program bagi meningkatkan semangat dan kerjasama berpasukan.

“Tidak banyak bezanya modul program ini berbanding yang kita lakukan di Pulau Langkawi bagi persediaan Piala AFF dua tahun lalu dan saya harap selepas pulang ke Kuala Lumpur, semua pemain kembali bersemangat dan yakin menggalas misi mempertahankan kejuaraan,” katanya kepada Arena Metro semalam.

Suntikan semangat diperlukan anak buah Rajagobal selepas mereka gagal mencatat kemenangan dalam tiga perlawanan pemanas badan dengan Vietnam 0-1, Thailand 0-2 dan Hong Kong 1-1 hingga mengundang kritikan semua pihak yang mula bimbang kemampuan Harimau Malaya mempertahankan kejuaraan di laman sendiri tahun ini.

Bagaimanapun Subahan tetap yakin, Harimau Malaya akan kembali ‘segar’ selepas bercuti dan mereka sebenarnya seperti ‘harimau terluka’ apabila turun membuka kempen Kumpulan B menentang Singapura.

“Saya tidak pernah risau dengan kemampuan skuad negara, bukan kita nak mendabik dada. Tidak mengapa kita kalah dalam persiapan ini dan itu membuatkan pemain seperti harimau terluka dan mereka akan lebih bersemangat serta tidak memperlekeh pasukan lain dalam kejohanan sebenar.” Skuad kebangsaan akan pulang ke Kuala Lumpur pagi esok untuk menyambung latihan seperti biasa bagi menghadapi perlawanan persahabatan dengan Bangladesh Selasa ini di Stadium Shah Alam.

Malaysia yang melakar sejarah muncul juara Piala AFF buat kali pertama dengan menewaskan Indonesia menerusi agregat 4-2 pada final 2010 akan bersaing bersama pasukan naib juara itu serta Singapura dan Laos dalam Kumpulan B.

Manakala tuan rumah bersama Thailand, akan melayan Filipina, Vietnam dan Myanmar bagi kempen Kumpulan A di Bangkok.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...