Wednesday, November 14, 2012

Barisan skuad Penyu diketahui esok


Harian Metro

SKUAD Penyu dijangka mengumumkan senarai penuh pemain minggu depan bagi mengharungi kempen Liga Malaysia musim 2013.

Pengurus, Marzuki Sulong berkata, setakat ini jawatankuasa pemilihan skuad sudah mengenal pasti beberapa pemain, namun senarai penuh akan diumum selepas tamat sesi pemilihan Khamis ini.

“Kami menguji tujuh pemain import manakala tiga lagi, dari Cameroon (Nlomgoi Yannick George) dan Republik Congo (Patrick Kanyuka) mengikuti sesi pemilihan bermula dua hari lalu.

“Seorang lagi pemain dari Brazil, Louiz Bernades tiba hari ini dan akan menyertai sesi pemilihan bermula esok,” katanya.

Pemain import akan mengisi slot pertahanan manakala bagi posisi penyerang, Terengganu masih berpegang pada perjanjian persefahaman dimeterai bersama penyerang Negeri Sembilan, Effa Owana.

Menurut Marzuki, lima pemain tempatan turut disenarai pendek untuk beraksi bersama Terengganu musim depan.

“Saya harap barisan pemain Terengganu yang bakal diumum mampu menggalas tanggungjawab masing-masing seterusnya mengembalikan kegemilangan bola sepak negeri ini dengan sasaran satu piala dalam kempen Liga M,” katanya.

Terengganu sebelum ini melepaskan 10 pemain utama termasuk dua pemain import, Francis Forkey Doe dan Erison Da Silva yang ditamatkan kontrak.

Skuad Penyu juga mencari penjaga gol baru bagi menggantikan Mohd Sharbinee Allawee Ramli yang dilepaskan bersama Abdul Shukur Jusoh, Joseph Kalang Tie, Reeshafiq Alwi, Abdul Hadi Yahya, Hariri Mohd Safii, Mohd Muslim Ahmad dan Md Ailim Fahmi Kamaruddin.

Antara pemain tempatan dikait beraksi bersama Terengganu musim depan ialah Syed Adni Syed Hussien (penjaga gol), Rosdi Talib (pertahanan), Faderin Kadir (penyerang) dan Shahzlan Alias (pertahanan/tengah).

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...