Monday, November 26, 2012

Penyokong hilang sabar tahan bas bawa pemain Harimau Malaya


Penyokong Ultras Malaya menahan bas yang membawa pemain Malaysia di luar Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam tadi. - Utusan/Abdul Nazir Mohamed

KUALA LUMPUR - Kekalahan 0-3 kepada Singapura dalam perlawanan pertama Piala Suzuki AFF 2012 menimbulkan rasa tidak puas hati kepada penyokong Ultras Malaya.

Lebih kurang 100 penyokong sejati skuad kebangsaan itu menunggu di pintu keluar pasukan di Stadium Nasional Bukit Jalil menuntut jurulatih, Datuk K. Rajagobal memberi penjelasan kekalahan tersebut.



Wakil Ultras Malaya, Redzuan Ahmad mempersoalkan apa yang jurulatih Harimau Malaya itu buat dalam tempoh dua tahun selepas memenangi kali pertama Piala AFF Suzuki 2010.

"Apa yang dibuat selama ini, apa perancangannya selepas dua tahun memenangi piala ini," katanya kepada media dengan rasa tidak puas hati selepas pengendali negara itu berjanji akan memulakan episod baru sebaik sahaja bermula AFF 2012.

Jelasnya, skuad kebangsaan diperkotak-katikkan di gelanggang sendiri dan maruah tercalar apabila mereka tunduk kepada pasukan jiran yang selama ini sering kali bertemu dalam perlawanan persahabatan.

Kumpulan Ultras Malaya itu sanggup menunggu kira-kira sejam di pintu yang sering kali menjadi laluan utama kepada skuad kebangsaan untuk menaiki bas pulang ke hotel.

Bagaimanapun, pengendali skuad kebangsaan itu tidak muncul dan dikhabarkan keluar di pintu lain manakala pemain pula keluar berasingan di pintu laluan bas tersebut tanpa sebarang kekecohan.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...