Friday, November 16, 2012

Sime Darby FC temui pengganti Ronaldinho

Harian Metro



KEHILANGAN penyerang berbisa, Patrick Ronaldinho Wleh kepada PKNS FC tidak menggusarkan naib juara Piala FA, Sime Darby FC yang sudah menemui pengganti lebih berkualiti berbanding pemain kebangsaan Liberia itu.

Pengendali Sime Darby FC, Ismail Zakaria berkata, Karlo Primolac, pemain yang pernah beraksi untuk kelab gergasi Croatia, Dinamo Zagreb sudah dipilih mengetuai jentera serangan kelab itu bagi memastikan sasaran utama layak ke Liga Super 2014 tercapai.

“Saya sudah menilai aksinya dan menyifatkan pemain berusia 28 tahun ini mungkin lebih baik daripada Ronaldinho. Malah dia memenuhi semua kriteria yang saya tetapkan termasuk teknik dan tahap profesionalisme yang lebih tinggi.


“Lebih penting dia tidak terikat dengan tugasan skuad kebangsaan (Croatia), tidak seperti yang terjadi musim lalu apabila Ronaldinho terpaksa dilepaskan dalam tempoh tertentu kerana tugasan bersama Liberia,” kata pengendali yang melonjakkan kelab itu musim lalu.

Selain penyerang kelab NK Istra 1961 itu, seorang lagi pemain kelahiran Croatia, Gorak Perak diikat Sime Darby dan bakal mengemudi barisan tengah.

“Mereka sudah tiga minggu di sini bagi menyesuaikan diri dan diharap mampu melonjakkan cabaran kami selepas hanya enam pemain musim lalu kekal dengan selebihnya membuat keputusan berhijrah ke Selangor, PKNS FC, Johor, T-Team dan pasukan lain,” katanya.

Ismail bagaimanapun enggan mengangkat bendera putih apabila turut mengikat beberapa pemain ternama tempatan seperti Mohd Shafiq Jamal, Mohd Khairi Zainuddin, Mohd Fadzli Saari, Juzaili Samion, Muhamad Zamri Chin, Yosri Derma Raju untuk melengkapkan 19 muka baru pasukan itu.

“Kehadiran pemain berpengalaman Liga Super ini diharap mampu membantu pemain muda dengan menjadi contoh terbaik terutamanya mempamerkan persembahan berkualiti untuk pasukan.” Musim lalu Sime Darby FC mengejutkan peminat tempatan apabila mara ke final Piala FA sebelum tumbang kepada juara tiga piala, Kelantan, 0-1.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...