Friday, November 23, 2012

Harian Metro


KELIBAT penyerang kebangsaan Norshahrul Idlan Talaha yang akan beraksi untuk Johor pada saingan Liga Super musim depan tampak semakin menjadi kenyataan.

Ini berikutan Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) yang sudah membuat pengumuman barisan juara treble itu tidak menyenaraikan pemain yang dikenali Mat Yo beraksi bersama skuad Red Warrriors pada kancah Liga Malaysia (Liga M) bermula Januari depan.

Bagaimanapun, Setiausaha Kehormat Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), Suhairi Hashim enggan mendedahkan senario sebenar status Mat Yo bagi memastikan tidak timbul sebarang percanggahan pandangan.



Katanya, ada beberapa perkara harus diselesaikan sebelum keputusan dibuat memandangkan isu itu hangat diperkatakan malah segala pengumuman dibuat Presiden PBNJ, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

“Buat masa ini kami mengikut prosedur ditetapkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan sudah menerima surat dari KAFA tiga hari lalu. Tunggu saja pengumuman Tunku Ismail. Mungkin semuanya akan selesai sebelum pendaftaran pemain yang ditetapkan FAM 6 Disember ini,” kata Suhairi.

Pengurus merangkap ketua jurulatih, Fandi Ahmad berpendapat khidmat Mat Yo sememangnya ada dalam perancangan skuad Harimau Selatan namun selagi pemain itu tidak menandatangani kontrak bersama Johor, tidak perlu buat sebarang andaian.

“Ia satu perkembangan positif selepas Mat Yo tidak tersenarai dalam skuad Kelantan musim depan namun saya tidak mahu ulas lanjut selagi dia tidak menandatangani kontrak. Saya harap perkara itu dapat diselesaikan dengan semangat kesukanan,” katanya.

Fandi juga mengulas kecederaan dialami Zaquan Adha Abd Radzak yang terpaksa diusung keluar selepas hanya beraksi selama 10 minit ketika skuad Harimau Malaya menentang Bangladesh dalam perlawanan persahabatan, baru-baru ini.

“Serius atau tidak kecederaan dialami Zaquan Adha belum pasti lagi dan saya akan menghubungi dia untuk mendapat maklumat terkini kerana saya hanya ada tempoh dua minggu saja untuk buat persiapan terakhir selepas tamat Piala Suzuki AFF,” kata Fandi.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...