Friday, November 30, 2012

Wan Zack optimis skuad mampu tewaskan Indonesia

Harian Metro


“KEMENANGAN ke atas Indonesia bukan sesuatu yang mustahil”. Itu pandangan pemain sayap negara, Wan Zack Haikal Wan Noor menjelang pertemuan getir membabitkan juara dan naib juara Piala AFF 2010, malam esok.

Skuad negara kendalian Datuk K Rajagobal yang kini mengumpul tiga mata memerlukan kemenangan mutlak untuk memastikan tiket ke separuh akhir manakala Indonesia yang kini mendahului Kumpulan B hanya memerlukan keputusan seri. “Jika kami bermain seperti satu pasukan dan mengikut arahan, kemenangan bukanlah sesuatu yang mustahil untuk dicapai,” kata pemain berusia 21 tahun itu yang menyinar ketika menewaskan Laos 4-1 malam kelmarin di Stadium Nasional, Bukit Jalil.



Anggota skuad Harimau Muda A bimbingan Ong Kim Swee itu berharap rakan sepasukan tidak terbawa-bawa dan leka dengan kemenangan besar ke atas Laos kerana perlu menyedari hidup mati Malaysia adalah menentang Indonesia.

Lawan jelas berada di tahap terbaik apabila menewaskan juara tiga kali Singapura 1-0 ketika Malaysia sebaliknya kecundang 0-3 kepada lawan yang sama, Ahad lalu.

“Kita kena menghormati semua pasukan, tidak boleh memandang rendah kemampuan lawan. Paling penting adalah beraksi seperti biasa dan tidak terlalu memikirkan mengenai corak permainan lawan,” katanya.

Dia yang turut dinobat sebagai pemain muda terbaik dan pilihan peminat dalam saingan Liga Singapura 2012 mempamerkan aksi bertenaga apabila meledak jaringan ketiga selain melakukan hantaran tepat untuk membolehkan Safee Sali menjaringkan gol kedua negara pada babak kedua.

Wan Zack Haikal adalah antara empat pertukaran yang dilakukan Rajagobal dalam kesebelasan utama ketika tewas kepada Singapura selain kemasukan Mohd Farizal Marlias, Mahali Jasuli dan perancang tengah Kelantan, Shakir Shaari jelas mengubah corak permainan Harimau Malaya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...