SHAH ALAM - Jika sebelum ini jurulatih Harimau Malaya, Datuk K. Rajagobal sentiasa tenang dalam menghadapi apa jua keputusan, situasi itu berubah sama sekali selepas seri 1-1 dengan Hong Kong pada aksi persahabatan, kelmarin.
Tiada lagi ungkapan 'saya kenal pemain saya' atau 'ini sekadar perlawanan persahabatan' seperti mana kebiasaannya.
Sebaliknya, keresahan mula kelihatan pada wajah beliau menerusi cara jawapan yang diberikan oleh pengendali berusia 56 tahun itu pada sidang media selepas perlawanan di Shah Alam.
Malahan, wajah kurang ceria setiap pemain sejurus keluar dari bilik persalinan sudah cukup untuk menceritakan segalanya.
Mengakui para pemainnya banyak kelemahan dan kesal dengan kesilapan oleh pemain berpengalaman seperti Mohd. Aidil Zafuan, Rajagobal hanya mampu berkata semua pemainnya perlu mempertingkatkan prestasi sebelum Piala Suzuki AFF.
Paling ketara, dia menegur barisan tengah yang diketuai Safiq Rahim dan Amar Rohidan, kerana gagal memberikan impak sehingga membuka banyak ruang kepada lawan melakukan gerakan.
"Pemain bahagian tengah tidak beraksi pada tahap sebenar, kerap hilang bola kepada lawan.
"Hantaran juga tidak kemas, Safiq Rahim dan Amar Rohidan gagal menjalankan tanggungjawab dengan baik sedangkan mereka kerap bermain bersama.
"Pada babak kedua baru nampak ada perubahan dan banyak melakukan gerakan menarik," katanya.
Mengenai salah faham di antara Aidil dan Khairul Fahmi Che Mat, Rajagobal berharap pertahanan berpengalaman negara itu tidak akan mengulangi kesilapan serupa pada masa depan.
"Aidil kena sedar kesilapan mudah seperti itu tidak patut diulangi dan saya harap ia berikan satu pengajaran berguna kepadanya," katanya.
Penyerang Harimau Malaya, Safee Sali pula menggesa rakan-rakan sepasukan agar segera kembali bangkit.
Dia menjelaskan gandingannya bersama Norshahrul Idlan Talaha masih yang terbaik.
"Sudah tentu saya kecewa kerana saya telah melaksanakan tugasan menjaringkan gol tetapi masih gagal membantu pasukan meraih kemenangan.
"Namun saya tetap yakin dengan kemampuan rakan-rakan yang lain dan kami akan cuba bangkit sama-sama, masa masih ada untuk memperbaiki apa yang masih kurang," katanya.
No comments:
Post a Comment