Friday, November 9, 2012

‘Kenapa nak panik’


Harian Metro

“APA panik? Saya sudah melalui macam-macam (situasi). Kenapa nak panik, Piala AFF belum mula lagi”.

Itu reaksi tegas pengendali negara Datuk K Rajagobal berhubung persiapan fasa akhir Harimau Malaya yang semakin mencetuskan kegelisahan peminat dan pemerhati bola sepak tempatan.

Juara bertahan saingan dwitahunan itu mengalami kekalahan kepada Vietnam dan Thailand dalam aksi persahabatan ketika kejohanan itu semakin hampir membuka tirainya di Kuala Lumpur dan Bangkok, Thailand hujung bulan ini.

“Sebarang pendapat atau pandangan terpulang kepada anda. Bagi saya ini adalah keadaan sebenar yang perlu disedari semua pemain yang mereka perlu memberikan lebih seratus peratus dan berusaha lebih keras lagi. Semua pasukan yang bersaing mahu mencatat kemenangan dan semuanya membuat persiapan rapi.


“Bukanlah mudah untuk meraih kejuaraan kali ini kerana semua pasukan berpeluang muncul juara edisi 2012 namun keutamaan kita sebagai tuan rumah dan juara bertahan adalah memberikan aksi terbaik.

“Kesimpulannya saya tidak panik. Saya tahu apa yang akan diberikan pemain bila masanya tiba. Kami sudah melalui situasi lebih teruk, dulu tewas 1-5 (kepada Indonesia pada perlawanan pertama edisi 2010) dengan semua memberikan reaksi negatif namun kami bangkit.

“Ini karakter yang saya mahukan dan pemain sedar apa kehendak saya,” katanya yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, semalam.

Kelmarin skuad negara kecundang 0-2 kepada tuan rumah bersama Piala AFF 2012, Thailand selepas tewas 0-1 kepada Vietnam.

“Sekurang-kurangnya saya mendapat gambaran sebenar andai layak ke separuh akhir. Menerusi perlawanan ini, kami sudah mengetahui kekuatan dan kelemahan Thailand,” katanya.

Mengenai pandangan segelintir pihak yang mengatakan harapan pasukannya mempertahankan kejuaraan tipis, Rajagobal berkata: “Saya tidak diberi harapan di Vientiane (pingat emas Sukan Sea 2009 di Laos), begitu juga di Indonesia (juara Piala AFF 2010). Ia terpulang kepada pendapat masing-masing.

“Sebagai jurulatih saya kenal pemain dan bila masanya saya mahu mereka beraksi dengan baik.” Hong Kong menjadi perlawanan persahabatan terakhir, Rabu ini dan Rajagobal mahu pemainnya mencatat kemenangan sebelum berdepan Singapura pada perlawanan pertama saingan Kumpulan B Piala AFF, 25 November ini.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...