Monday, November 19, 2012

Safiq Rahim: Jangan pandang rendah kemampuan Bangladesh


Safiq Rahim
Safiq Rahim (kanan) memegang jersi beliau bersama Cariessa Goh (kiri) selepas dilantik menjadi duta bagi minuman jenama 100 Plus di Wisma FAM hari ini - Foto Bernama


PETALING JAYA - Ketua pasukan kebangsaan Safiq Rahim mengingatkan rakan sepasukan supaya tidak memandang rendah pasukan Bangladesh walaupun skuad berkenaan bukanlah kuasa bola sepak di rantau Asia.
   
Justeru, Safiq meminta pemain skuad Harimau Malaya memberi sepenuh komitmen apabila kedua-dua pasukan bertemu pada aksi persahabatan antarabangsa di Stadium Shah Alam, malam esok.
   

"Kita perlu serius dan jangan memandang rendah keupayaan mana-mana pasukan. Kalau kita mempamerkan persembahan terbaik (malam esok), InsyaAllah, saya yakin kita akan dapat keputusan positif," katanya selepas dilantik sebagai duta terbaharu jenama minuman isotonik, 100Plus di Wisma FAM, di sini hari ini.
   
Safiq merupakan atlet kebangsaan kelima dilantik sebagai duta oleh jenama minuman di bawah syarikat F&N Beverages Marketing Sdn Bhd itu.
   
Sebelum ini, syarikat berkenaan melantik jaguh badminton negara Datuk Lee Chong Wei, penerjun elit negara Pandelela Rinong dan dua pemain bola sepak kebangsaan iaitu penyerang Mohd Safee Mohd Sali dan penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat.

Safiq berkata kemenangan ke atas Bangladesh yang berada pada ranking ke-171 dunia akan menjadi tonik terbaik kepada skuad Harimau Malaya sebelum turun menentang Singapura pada perlawanan pembukaan Kumpulan B Piala AFF Suzuki, 25 Nov ini di Stadium Nasional Bukit Jalil.
   
Selepas bertemu Singapura, skuad negara dijadual menentang Laos pada 28 Nov sebelum menutup aksi kumpulan bertemu Indonesia pada 1 Dis. Kedua-dua perlawanan itu akan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil.
   
Mengenai pemilihannya selaku duta terbaharu 100Plus bagi tempoh dua tahun, Safiq yang bakal menyarung jersi Johor pada saingan Liga Super musim depan, berterima kasih kepada syarikat minuman itu dan berharap ia menjadi pembakar semangat kepadanya untuk mempamer persembahan terbaik pada Piala AFF Suzuki.
   
Sementara itu, Pengurus Hal Ehwal Korporat F&N Beverages Marketing Sdn Bhd , Cariessa Goh berkata syarikat itu berbangga melantik Safiq sebagai duta baharu mereka berikutan prestasi cemerlangnya dalam pasukan kebangsaan sejak beberapa
tahun lepas.
   
"Safiq seorang atlet yang cemerlang dan mempunyai kualiti kepimpinan yang terserlah menyumbang kepada kejayaan pasukan negara dan beliau juga model contoh yang ideal bagi golongan muda Malaysia," katanya. - Bernama



No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...