Saturday, November 17, 2012

Harian Metro


PERSATUAN Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA) akan menggunakan kembali nama asal, Persatuan Bola Sepak Wilayah Persekutuan (FTFA) bermula saingan Liga Perdana musim depan.

Presiden KLFA, Datuk Astaman Abdul Aziz berkata, pertukaran nama itu mendapat persetujuan Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PPS) dan mereka akan mengadakan mesyuarat agung luar biasa pada 4 Disember ini bagi membincangkan perkara itu.

“Sebelum ini, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pernah menolak permohonan daripada Labuan dan Putrajaya untuk membentuk sebuah persatuan bola sepak yang baru kerana dua kawasan ini di bawah Wilayah Persekutuan.



“Selepas meneliti perkara itu, kami setuju supaya mereka bergabung dengan KLFA bagi membentuk persatuan bola sepak yang lebih mantap,” katanya.

Untuk rekod, KLFA sebelum ini dikenali sebagai FTFA ketika penubuhannya pada 1975 dan bekas Presiden FAM, Allahyarham Tan Sri Hamzah Abu Samah adalah presiden pertama.

Persatuan itu kemudian ditukar nama kepada KLFA pada 1987 hingga sekarang.

Mengulas lanjut, Astaman berkata, pasukan itu akan kekal dengan nama Kuala Lumpur walaupun persatuan bakal ditukar nama. Mengenai persediaan pasukan menghadapi Liga Perdana musim depan, Astaman berkata, pihaknya akan mengadakan sesi pemilihan pemain tempatan serta import dalam tempoh terdekat.

“Penaja KLFA berjaya mendapatkan khidmat seorang jurulatih daripada Republik Czech bagi melatih pasukan Kuala Lumpur untuk menghadapi Liga Perdana tapi dengan beberapa syarat yang ditetapkan oleh kami.

“Saya tidak boleh mendedahkan syarat itu hingga jurulatih itu menandatangani kontrak.” Sebelum ini, penyerang KL, Mohd Afiq Azmi memilih untuk menabur bakti bersama Selangor selain jurulatih, Razip Ismail yang mengikat kontrak bersama FAM untuk melatih pasukan Harimau Muda B (skuad bawah 21 tahun kebangsaan) pada musim depan.

Skuad warga kota menyertai Liga Perdana musim depan selepas menduduki tangga terakhir daripada 14 pasukan Liga Super musim ini apabila hanya mengutip lima mata daripada 26 perlawanan liga.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...