SIAPAKAH yang bakal menyarung jersi no 9 selepas penyerang sensasi The Red Warriors, Norshahrul Idlan Talaha atau Mat Yo tidak tersenarai untuk beraksi bersama pasukan juara Piala Malaysia itu musim depan?
Persoalan itu menjadi tanda tanya dan mencetuskan debaran selepas Penasihat Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa tidak mengumumkan siapa yang bakal menggantikan Norshahrul ketika mengumumkan senarai pemain TRW untuk musim 2013, malam kelmarin.
Pada masa sama, Annuar turut mengumumkan kewujudan jersi no 26, namun merahsiakan siapa yang bakal menyarung jersi itu.
“Kita akan ketahui siapa menyarung jersi no 9 dalam tempoh tiga hari lagi dan akan ada pemain import Asia yang menyarung jersi nombor 26, namun tidak boleh diumumkan lagi kerana sebab tertentu,” katanya selepas Majlis Perarakan Tiga Piala dari Hotel Renaissance ke pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu serta pengumuman senarai 28 pemain TRW untuk 2013, kelmarin.
TRW mengekalkan 95 peratus pemain asal ditambah dengan empat muka baru, bekas pemain Perak, K Nanthakumar, Zairo Annuar Zailani ( T-Team), Mohd Faiz Subri (T-Team) dan Muhammad Izuan Salahuddin (Harimau Muda A).
Terdahulu dalam ucapannya, Annuar berkata, selepas beberapa kali berbincang mengenai status Norshahrul, Kafa memutuskan tidak menyenaraikannya dalam saingan musim 2013.
Katanya, keputusan itu turut dibuat berdasarkan suara penyokong yang mahu Norshahrul dilepaskan selain sudah mengambil kira semua faktor.
“Kami berbincang bersama pengurusan pasukan termasuk ketua jurulatih, Bojan Hodak dan memutuskan tidak menyenaraikan Norshahrul bagi musim depan. “Saya fikir wajar keputusan itu dikongsi dengan suara penyokong, malah percaya tanpa Norshahrul, Kelantan masih mampu bersaingan untuk musim depan,” katanya yang tidak mahu isu perpindahan pemain itu dipanjangkan kerana mahu penyerang kebangsaan itu fokus kepada misi mempertahankan kejuaraan Piala AFF Suzuki bermula Ahad ini.
Mengenai status pemain import dari Lubnan, Mohd Ghaddar, Annuar berkata, perbincangan dan penilaian kini dibuat sama ada mengekalkan pemain itu atau sebaliknya. “Kami masih berbincang dan membuat penilaian namun tidak menafikan pemain itu masih dalam senarai pilihan bagi saingan Piala AFC musim depan.”
No comments:
Post a Comment