SAINGAN Liga Malaysia yang bakal membuka tirai pada Januari depan semakin menarik apabila dihiasi dengan kehadiran sejumlah pemain import berkualiti.
Antara yang paling mencuri tumpuan adalah kehadiran penyerang kelab La Liga, Getafe CF yang sah bersama Johor, Daniel Gonzalez Guiza untuk menguatkan cabaran Harimau Selatan dan bekas pemain kebangsaan Sepanyol itu sudah melaungkan keazaman untuk membantu pasukan itu menjadi antara yang digeruni musim depan.
Ia pasti menghadirkan saingan yang sengit dalam memburu kasut emas Liga Super terutamanya dalam mencabar dua penjaring terbanyak musim lalu, Francis Forkey Doe dan Jean Emmanuel Effa Owona yang masing-masing menyarung jersi Selangor dan Terengganu musim depan.
Lebih menarik adalah ketajaman peledak Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Marlon Alex James yang menggegar dalam Liga Perdana dan Piala Malaysia musim lalu akan turut bersaing di Liga Super 2013.
Selain itu beberapa nama pemain import berkualiti turut berada dalam radar beberapa pasukan lain seperti pemain sensasi Indonesia, Andik Vermansyah yang mendapat perhatian Negeri Sembilan dan penjaring terbanyak Liga Singapura musim lalu, Frederic Mendy yang menjadi buruan Perak.
Namun bukan saja barisan pemain import berkualiti di jentera seranganmalah di bahagian tengah dan pertahanan turut ditagih mempamerkan aksi terbaik pada musim depan seperti bekas pertahanan Nigeria yang kekal bersama Kelantan, Obinna Nwaneiri, pemain kebangsaan Lubnan, Ramez Dayoub (Selangor) dan kehebatan perancang tengah ATM dari Argentina, Bruno Sebastian Martelotto.
Perkembangan terbabit jelas mendapat reaksi positif bekas pemain negara, Khalid Ali yang melihatnya sebagai sesuatu yang sihat untuk kancah liga tempatan.
“Walaupun ada antaranya sudah berusia, saya tidak melihatnya sebagai satu masalah besar kerana mereka adalah pemain yang sebenar-benarnya profesional dan ada yang sudah membuktikan kualiti yang dimiliki pada musim lalu,” katanya yang turut mengakui sokongan peminat tempatan mungkin turut akan bertambah berbanding musim ini.
Namun beliau turut menaruh harapan tempias kehadiran pemain import akan dinikmati pemain tempatan terutamanya dalam meningkatkan kemahiran yang dimiliki.
“Saya sememangnya berharap barisan pemain import yang ada mampu memberikan rangsangan kepada pemain tempatan. Bagi pemain tempatan pula mereka perlu menggunakan kesempatan dengan belajar sebaik mungkin apabila mendapat peluang,” katanya.
Sehingga kini sebahagian besar pasukan masih belum mengumumkan barisan pemain import mereka namun yang pasti kehadiran pemain yang berkualiti akan terus merancakkan saingan Liga Malaysia musim depan.
No comments:
Post a Comment