Friday, November 16, 2012

Norshahrul: PBNJ jawab tawaran KAFA Isnin ini



JOHOR BAHRU - Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) akan mengadakan mesyuarat Isnin ini bagi membuat keputusan sama ada menerima tawaran Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) mengenai perpindahan Norshahrul Idlan Talaha.

Mesyuarat tersebut akan dipengerusikan Presiden PBNJ, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Sambil menyatakan kesungguhan untuk mendapatkan pemain yang terkenal dengan jolokan The Linesman itu, Setiausaha Kehormat PBNJ, Suhari Hashim berkata, Johor akan mencuba berusaha untuk mendapatkan khidmat Norshahrul.


Namun, beliau enggan memberi ulasan lanjut tentang isu Norshahrul, yang dinobatkan sebagai Pemain Paling Bernilai pada Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2012 kerana tidak mahu mengganggu proses perpindahan tersebut.

"Apa yang saya boleh kata, kita bersungguh-sungguh mahu mendapatkan Norshahrul untuk bersama Johor bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

"Selebihnya, kita perlu tunggu apa yang diputuskan dalam mesyuarat nanti. PBNJ mahu semuanya berjalan lancar," katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Utusan Malaysia kelmarin melaporkan, Johor perlu membayar harga tinggi jika mahu mendapatkan khidmat Norshahrul kerana majikannya Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) meletakkan nilai yang tinggi terhadap pemain itu.

Presiden KAFA, Tan Sri Annuar Musa berkata, kejayaan Norshahrul mengekalkan status Pemain Paling Bernilai kali ketiga berturut-turut baru-baru ini sudah cukup menggambarkan nilai sebenar penyerang Kelantan itu.

Dalam pada itu, pengurus yang juga jurulatih Johor, Fandi Ahmad berharap urusan perpindahan Norshahrul dapat diselesaikan dalam masa terdekat bagi membolehkan persiapan pasukan bagi menghadapi saingan musim depan dapat berjalan lancar.

Beliau percaya perbincangan antara PBNJ dan KAFA berhubung isu perpindahan Norshahrul kini berada pada fasa terakhir, sekali gus pemain itu dapat bersama Johor selepas menyertai saingan Piala AFF Suzuki.

"Saya harap keputusan dibuat kedua-dua pihak positif kerana kita perlu rancang persiapan bagi saingan musim depan. Malah, kita juga sudah memulakan latihan pra musim dengan pemain sedia ada sejak Isnin lalu," katanya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...