ZAIRO Anuar Zailani dan Faiz Subri diumum sebagai pemain baru Kelantan kelmarin namun majikan mereka, T-Team memilih untuk tidak berdiam diri.
Ketua Pegawai Eksekutif T-Team, Abdul Rasid Jusoh berkata, pihaknya berbincang dengan peguam sebelum mengemukakan aduan rasmi kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) selain kemungkinan mengambil tindakan undang-undang ke atas Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) dan kedua-dua pemain itu.
“Kami ada bukti dua pemain itu yang masih mempunyai kontrak dengan T-Team hingga hujung bulan ini tidak mengikut peraturan FAM semasa berunding kontrak baru dengan Kafa.
“Kami juga mendapat tahu yang Kafa dan dua pemain itu melanggar undang-undang namun akan menyerahkan kepada peguam menilai sama ada memiliki bukti cukup mengambil langkah seterusnya,” katanya.
Abdul Rasid berkata, beliau sudah membaca komen di laman facebook Tan Sri Annuar Musa dan Penasihat Kafa itu menegaskan, persatuan negeri itu mengikut semua peraturan untuk mengikat Zairo dan Faiz.
“Namun Annuar tidak sedikitpun menyebut pembayaran wang dengan jumlah yang banyak kepada kedua-dua pemain itu apabila mereka menandatangani kontrak dengan Kelantan.
“Setahu kami pembayaran wang sebanyak enam angka itu menyalahi peraturan dan boleh diibarat sebagai rasuah namun peguam kami tentu lebih arif membuat takrifan itu,” katanya.
Beliau berkata, kedua-dua pemain sudah mengaku menerima wang daripada Kelantan ketika turun berlatih bersama T-Team beberapa hari lalu.
“Mereka bukan saja mengaku kepada saya malah ada beberapa pegawai T-Team lain termasuk peguam kami turut sama mendengar pengakuan Zairo dan Faiz.
“Kami juga akan menurut nasihat peguam sekiranya mahu perkara ini dilaporkan kepada SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia),” katanya.
No comments:
Post a Comment