Thursday, November 29, 2012

‘Usah terlena kemenangan ini’

Harian Metro

CANTIK...jaringan keempat skuad negara dijaringkan Khyril Muhymeen Zambri (tengah).
CANTIK...jaringan keempat skuad negara dijaringkan Khyril Muhymeen Zambri (tengah).


“LUPAKAN kemenangan malam ini (semalam) dan fokus kepada perlawanan seterusnya. Itu mesej jelas ketua jurulatih skuad kebangsaan, Datuk K Rajagobal selepas menyaksikan anak buahnya mencatat kemenangan pertama menewaskan Laos 4-1 pada aksi Kumpulan B Piala Suzuki AFF malam tadi.



Katanya, kebangkitan yang dipamerkan pemain selepas tewas 0-3 di tangan Singapura pada perlawanan pertama Ahad lalu memberikan keyakinan untuk berdepan Indonesia Sabtu ini bagi mencari tempat ke separuh akhir.

“Saya mengarahkan pemain bermain dengan agresif dalam permainan. Kami mengawal permainan tapi kesilapan Safiq Rahim memberikan bola kepada pasukan lawan membolehkan Laos menyamakan kedudukan.

“Gol penyamaan itu memberikan keyakinan kepada Laos dan sepatutnya kita menjaringkan empat dan lima gol pada babak pertama. Pemain beraksi dengan baik dan kami berhak menang perlawanan ini,” katanya pada sidang media selepas perlawanan itu.

Saingan Kumpulan B kini terbuka dengan Indonesia mendahului menerusi empat mata, diikuti Singapura dan Malaysia berkongsi tiga mata manakala Laos satu mata di tangga tercorot.

Rajagobal berkata saingan merebut dua tempat ke separuh akhir pasti menarik Sabtu ini.


“Semua pasukan mahu menang, ia bukan mudah. Indonesia bermain dengan bagus pada perlawanan kedua, saya harap kami boleh meneruskan kecemerlangan ini,” katanya.

Bagi jurulatih Laos, Kokichi Kimura beliau memuji permainan Malaysia dan mengakui anak buahnya gagal menyaingi kepantasan skuad juara bertahan itu.

“Perlawanan hari ini agak pantas dan pada babak pertama kami bernasib baik menjaringkan gol. Pemain saya kurang stamina manakala pemain Malaysia pula bermain dengan baik.

“Pemain Laos tidak mempunyai pengalaman, perlawanan terakhir lebih sukar tapi kami tidak akan berputus asa. Walaupun tenaga kurang dan pemain mengalami kecederaan kami tidak akan putus asa,” katanya.

Laos mengikat Indonesia pada perlawanan pertama 2-2 namun beliau menganggap kekuatan Malaysia dan Indonesia tidak jauh berbeza.

Skuad kendalian Kimura akan membuat perhitungan terakhir Kumpulan B menentang Singapura di Stadium Shah Alam, Sabtu ini.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...