KUALA LUMPUR - Gagal sekali bukan bermakna gagal selamanya. Itulah pesanan pemain kebangsaan, Khyril Muhymeen Zambri kepada semua penyokong setia Harimau Malaya.
Khyril mengajak penyokong memenuhi stadium memberikan sokongan padu menjelang perlawanan sulung berdepan Singapura di Stadium Nasional Bukit Jalil, Ahad ini
Mengakui sedikit bimbang dengan penurunan jumlah penyokong dalam dua perlawanan persahabatan terakhir baru-baru ini, pemain bertubuh kecil ini berharap situasi sama tidak berulang ketika berdepan Singapura, esok.
"Saya pinta semua peminat turunlah beri sokongan kepada kami, janganlah cepat berputus asa walaupun beberapa keputusan perlawanan persahabatan sebelum ini tidak begitu menyebelahi kami.
"Kami di kalangan pemain sendiri masih belum berputus harap namun dalam masa sama mengharapkan ramai penonton dapat turun supaya semangat kami lebih tinggi menghadapi Singapura," katanya ketika ditemui sesi latihan di Stadium Nasional, baru-baru ini.
Khyril dijangka bersaing sengit dengan Wan Zack Haikal dan Azamuddin Akil di posisi sayap kanan, namun dia boleh bertindak selaku pemain tengah menyerang jika diperlukan.
Menjaringkan sebanyak 14 gol bersama Kedah dalam saingan Liga Malaysia, karier Khyril banyak dihantui masalah kecederaan lutut yang diperolehi semasa menentang Kenya pada tahun 2009 yang memaksa dia direhatkan selama sembilan bulan.
Sejak itu, Khyril sudah kurang diberi peluang beraksi bersama skuad kebangsaan dan kariernya kembali meningkat pada tahun ini apabila menunjukkan aksi mantap bersama Kedah.
"Bukan mudah nak dapatkan tempat dalam kesebelasan utama kerana ramai pemain yang berkebolehan dalam pasukan buat masa sekarang.
"Namun, jika saya mendapat kesempatan dan kepercayaan jurulatih, saya akan gunakan peluang itu sebaik-baiknya kerana sudah lama tidak bermain dengan skuad negara ekoran kecederaan berpanjangan," katanya.
Biarpun kerap diturunkan selaku penyerang bersama Kedah, Khyril tidak kisah jika Rajagobal meletakkannya di sayap sayap kanan kerana posisi itu digemarinya.
No comments:
Post a Comment