Thursday, November 15, 2012

Perak boleh tebus Azidan

Harian Metro


PERSATUAN Bola Sepak Perak (Pafa) akur dengan permintaan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) supaya mengadakan rundingan dengan Pahang bagi menyelesaikan isu perebutan pemain tengah Selangor, Azidan Sarudin.

Setiausaha Pafa, Abdul Aziz Yeop Jamaluddin berkata, FAM yang bertindak selaku orang tengah meminta pertikaian itu diselesaikan umpama ‘menarik rambut dalam tepung’ agar tidak berlaku sebarang kesusahan.

“Pafa akan ikut permintaan FAM. Kami akan mengutus surat kepada Persatuan Bola Sepak Pahang (PBNP) untuk melepaskan Azidan kerana Pahang sudah membayar pampasan kepada Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS).


“Secara tidak langsung Perak perlu tebus Azidan daripada PBNP kerana pemain itu benar-benar mahu menyertai Perak,” katanya.

Abdul Aziz berkata, usaha menyelesaikan kemelut Azidan itu atas inisiatif FAM sendiri.

Pada pertemuan di Wisma FAM di Kelana Jaya, Pahang diwakili Setiausaha PBNP dan penolong pengurus, Zainal Abidin Hassan manakala Perak oleh Timbalan Presidennya, Khairul Azwan Harun.

Turut hadir ialah Azidan yang memberi keterangan pada pertemuan itu.

“Ini adalah usaha awal menyelesaikan perebutan Azidan antara Perak dengan Pahang.

“Kami cuba selesaikan dengan cara berunding terlebih dulu dengan harapan ia tidak berpanjangan.

“Memang Pahang sudah membayar pampasan kepada FAS tapi Azidan tetap dengan pendirian untuk mewakili Perak serta belum menandatangani sebarang kontrak dengan Tok Gajah.

“Perkara itu ditegaskan sendiri Azidan pada pertemuan tadi (semalam). Kini kami tunggu dan lihat apa yang akan berlaku.

“Saya harap ia akan selesai dengan baik agar pemain itu dapat menyertai pasukan barunya dengan segera,” katanya.

Sementara itu, Aziz berkata, Perak akan menguji tiga awang import iaitu dua Brazil dan seorang dari Maghribi mulai petang ini.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...