Thursday, November 22, 2012

Kedah lantik pengurus baru kendali skuad Kenari


ALOR SETAR - Datuk Jeffrey Low Hang Chow dilantik sebagai pengurus baharu pasukan bola sepak Kedah (KFA) bagi menggantikan Datuk Khazali Din yang memegang jawatan itu sejak 2009.

Presiden KFA Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata, Jeffrey dipilih menjadi pengurus pasukan Kenari kerana beliau adalah seorang yang berbakat dan mengetahui selok-belok dunia bola sepak.

"Datuk Jeffrey juga adalah exco FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia). Beliau adalah paling sesuai bagi mengisi jawatan itu. Sebab itu kita lantik beliau menguruskan pasukan kita," katanya ketika ditemui pemberita di luar Dewan Undangan Negeri di sini hari ini.


Beliau berkata KFA telah menyusun semula pasukan itu dengan membuat pelantikan baru ketua jurulatih, penolong jurulatih, jurulatih dan pemain bagi musim hadapan.

"Ketua jurulatih bagi pasukan kita ialah Marijo Tot, penolong jurulatih ialah Antonio Sissc dan Talib Saidi dilantik sebagai jurulatih," katanya.
  
Azizan berkata pemain baru yang akan menyarung jersi hijau kuning pada musim depan ialah Mohd Fariss Azlan Mat Isa dari Sabah, Hariri Mohd Safii (Terengganu), Zuraindey Jumai (Sabah), Wan Hossein Wan Abd Ghani (Perak), Arman Fareez Mohd Ali (Kuala Lumpur), Mohd Shahrul Ezrain Shamsuddin (T-Team) dan Chayene Medderiros Oliveiro Santos dari Brazil.

"Khyril Muhymeen masih kekal dengan pasukan kita dan daripada 21 pemain yang disenaraikan untuk musim depan, 14 daripadanya adalah anak Kedah. 

"Kita dah buat pertimbangan dan kajian yang terbaik untuk pasukan kita dan kita harap pasukan ini adalah pasukan yang bagus untuk musim hadapan," katanya.

Beliau berkata untuk musim depan peruntukan bagi bola sepak mungkin akan meningkat sehingga RM400,000 sebulan dan sebagai kerajaan negeri, pihaknya akan memikirkan bagaimana untuk menambah dana tersebut.

"Kalau kita nak bergantung kepada kutipan tiket memang susah sedikit la sebab kutipan tiket kita akan dapat banyak kalau kita menang. Tapi kalau kita tak menang orang tak mai tengok kita lawan. Itu yang masalah," katanya. - Bernama

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...