KUALA LUMPUR - Setelah penyerang Harimau Malaya, Ahmad Fakri Saarani menjadi pemain kedua negara selepas Mohd. Nazmi Faiz berhijrah ke Portugal bersama kelab Atletico Sporting Club, harapan untuk melihat lebih ramai pemain Malaysia berkelana di bumi Eropah semakin cerah.
Pengurus peribadi Fakri, Faisal Zakariah mendedahkan enam pemain Harimau Muda dalam skuad bimbingan Ong Kim Swee turut diintai oleh kelab-kelab dari Portugal.
"Selain Fakri, banyak kelab tertarik mendapatkan khidmat pemain dari pasukan Harimau Muda, jumlahnya yang saya kenal pasti seramai enam orang.
"Saya ada bertanyakan perkara ini kepada Kim Swee namun semuanya tertakluk kepada perbincangan dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) terlebih dahulu," katanya pada sesi media mengenai pemergian Fakri ke kelab Portugal, Atletico Sporting Club pada pintu perpindahan pemain, Januari depan.
Mengenai pemergian Fakri, Faisal berkata, bekas pemain Felda United dan Perlis itu turut mendapat tawaran dari kelab yang diwakili Nazmi, S.C Beira Mar namun perlu menjalani ujian pemilihan.
"Memikirkan tahap keupayaan yang tinggi beraksi dalam saingan Divisyen Satu, kami fikir lebih baik dia bermain dalam Divisyen Tiga di samping kelab itu sudah sedia menawarkan kontrak.
"Ini kerana kelab Atletico Sporting Club menjanjikan tempat dalam kesebelasan utama dan kualiti persaingan Divisyen Tiga adalah sama dengan Liga Super (Malaysia), kelab ini berada di tempat kedua (Serie F Divisyen Tiga Portugal)," katanya.
Fakri berkata, impiannya bermain di luar negara akhirnya tercapai dan mahu mengambil kesempatan mempelajari sesuatu yang baru apabila berada di Portugal.
"Inilah peluang saya mencipta nama Malaysia untuk dikenali dan buktikan saya mampu membuat sesuatu, bukan setakat pergi sahaja ke sana tanpa memberikan sebarang impak.
"Saya bersedia memberikan lebih daripada seratus peratus apabila bermain di sana dan tidak akan sia-siakan peluang yang saya dapat," katanya.
No comments:
Post a Comment