Tuesday, November 13, 2012

Selangor yakin raih minimum satu piala tahun depan



MENGAKHIRI musim 2012 tanpa sebarang piala apabila sekadar menduduki tangga ketiga Liga Super dan separuh akhir Piala Malaysia, Penolong Jurulatih Selangor, P Maniam yakin The Red Giants akan merangkul sekurang-kurangnya satu piala musim depan.

Bagaimanapun  jelasnya, anak buah Irfan Bakti harus berusaha gigih dari sekarang kerana sudah pasti Selangor akan mendapat tentangan sengit daripada pasukan lain terutama juara Liga Super 2012, Kelantan.

"Tahun lepas kita tidak memperoleh sebarang piala apabila sekadar menduduki tangga ketiga Liga Super dan separuh akhir bagi Piala Malaysia.

"Jadi, musim depan saya yakin sekurang-kurangnya satu piala menjadi milik skuad Merah Kuning," kata Maniam ketika dihubungi Sinar Harian Online, hari ini.


Begitupun, Maniam berkata, usaha gigih harus diperkuatkan dalam diri pemain kerana bukan mudah untuk merangkul sesuatu kejuaraan.

"Pemain harus rajin berlatih, bersemangat dan tumpukan setiap taktik yang diajarkan oleh Irfan. Sekiranya semua itu dapat dipratikkan dengan baik oleh pemain, tidak mustahil kita mampu bergelar juara.

“Apa-apa pun, saya yakin Irfan mampu membantu Selangor muncul sebagai juara Liga Super pada musim depan," kata Maniam.yang menaruh kepercayaan sepenuhnya kepada Irfan.

Dalam pada itu, ketika diminta mengulas ketiadaan Safiq Rahim mulai musim depan, Maniam mengakui bahawa ia sedikit sebanyak memberi kesan kepada Gergasi Merah selepas kehilangan pakar sepakan percuma itu.

“Tidak dapat dinafikan, kehilangan Safiq memberikan kesan kepada Selangor. Dia merupakan seorang ketua pasukan yang bagus serta pakar dalam gerakan set-piece.

“Namun, bola sepak adalah semangat berpasukan dan ia bukan dalam bentuk individu," jelas Maniam lagi.

Tambah Maniam, beliau turut yakin dengan kombinasi pemain baru dan lama mampu memberi satu keputusan positif buat Gergasi Merah bagi mengharungi saingan Liga M musim depan.

“Kami kini berwajah baharu dan saya menyeru kepada pemain-pemain baru dan lama Selangor agar menamatkan penantian untuk memenangi trofi Liga Super musim depan.

“Justeru, saya berharap mereka dapat bekerjasama dalam usaha untuk membentuk persefahaman lebih mantap dan mengekalkan reputasi Selangor,” ujar beliau.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...