TEMPOH kira-kira enam bulan menjadi detik penting dalam karier pemain kebangsaan, Ahmad Fakri Saarani bagi memastikan pemergiannya menyertai kelab divisyen tiga Portugal, Atletico Sport Clube Reguengos tidak sia-sia.
Andai ingin terus mengembangkan karier profesional di Eropah, pemain kelahiran Kelantan itu perlu membuktikan kemampuannya untuk memikat kelab terbabit atau kelab lain.
Ia sekali gus menyebabkan bekas pemain Felda United itu membulatkan tekad untuk mempamerkan aksi terbaik dan memanfaatkan sepenuhnya peluang itu.
Dia bakal menjadi pemain kedua negara bertapak di Portugal selepas pemain remaja berbakat, Mohd Nazmi Faiz Mansor kini bersama kelab divisyen satu Portugal, SC Beira Mar.
“Ini peluang terbaik buat saya kerana memang mengharapkan beraksi di luar negara. Tempoh terbabit membuka peluang kepada saya meningkatkan lagi permainan dan membaiki kelemahan yang ada,” katanya.
Pemain berusia 23 tahun itu terbang ke Portugal sejurus cabaran skuad negara di Piala AFF yang bermula hujung bulan ini tamat.
“Sebagai persiapan awal saya ada membuat kajian tentang kelab ini untuk mengetahui serba sedikit mengenainya.” Pengurus peribadi, Faisal Zakaria turut menjelaskan Ahmad Fakri bukan saja mendapat tawaran kelab terbabit namun beberapa kelab lain termasuk SC Beira Mar yang diwakili Nazmi Faiz mahu mengujinya.
Lebih menggembirakan kelab itu bersedia menyenaraikan penyerang itu dalam kesebelasan utama.
Ahmad Fakri memulakan karier profesional lima musim lalu bersama Perak dan adalah antara pemain yang berjaya memenangi pingat emas Sukan Sea 2009 dan 2011.
Sementara itu ejen, Marco Guimaraes menegaskan pemain itu mempunyai kualiti tersendiri untuk diketengahkan ke peringkat lebih tinggi.
“Saya yakini kemampuannya. Saya harap dia mampu mempelajari sesuatu untuk menjadi pemain lebih baik selepas ini,” katanya yang turut bertanggungjawab membawa Nazmi Faiz mengembangkan karier di Portugal.
No comments:
Post a Comment