PENGENDALI Singapura, Rodojko Avramovic dilihat mahu 'berkongsi' sesuatu dengan rakan sejawatannya di Malaysia, Datuk K. Rajagobal.
Menjelang aksi berdepan Indonesia pada aksi terakhir peringkat Kumpulan B kempen Piala Suzuki AFF 2012 di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam esok, Avramovic percaya kepantasan Sang Garuda bakal menjerat Harimau Malaya.
Menurut Avramovic, 62, beliau menjangkakan satu laluan sukar buat skuad negara biarpun memiliki reputasi selaku juara bertahan sebaik skuad kendaliannya tewas 0-1 kepada Indonesia petang kelmarin menerusi jaringan tunggal, Andik Vermansyah.
Tanpa berselindung, Avramovic juga menegaskan, Garuda lebih berpeluang mara ke separuh akhir berbanding Malaysia.
"Perlawanan itu (Malaysia menentang Indonesia) akan menjadi satu perlawanan sukar.
"Saya rasa Indonesia lebih berpeluang (muncul sebagai pasukan pilihan) kerana mereka hanya mahu mendapatkan satu mata dalam aksi tersebut.
"Saya percaya Indonesia akan menyerang dari setiap posisi ketika melancarkan serangan balas memandangkan mereka memiliki pemain-pemain pantas seperti Andik dan Elie Aiboy.
"Jadi, Malaysia harus berwaspada dengan ancaman itu," ujarnya kepada pemberita selepas tamat perlawanan menentang Garuda di Stadium Nasional, Bukit Jalil kelmarin.
Terdahulu, hasrat Singapura untuk kekal selaku pendahulu Kumpulan B musnah selepas juara tiga kali itu tewas tipis 0-1 kepada Indonesia pada aksi kedua kelmarin.
Dengan keputusan itu, Sang Singa kini menduduki tempat kedua kumpulan apabila berkongsi tiga mata dengan skuad negara hasil perbezaan jaringan.
No comments:
Post a Comment