Thursday, November 22, 2012

Moral kami tinggi - Khairul Fahmi



KUALA LUMPUR - Khairul Fahmi Che Mat tetap mementingkan perjuangan dalam Piala Suzuki AFF 2012 walaupun sempat 'mencuri' sedikit masa untuk membuat pengumuman tentang majlis perkahwinannya pada 29 Disember ini.

Semalam, bertempat di Hotel Royale Bintang Damansara yang juga bakal menjadi salah satu lokasi majlis resepsi untuk majlis perkahwinannya, penjaga gol skuad kebangsaan itu mengumumkan hasrat menamatkan zaman bujang dengan gadis pilihan.



Bagaimanapun, pemain kelahiran Kelantan itu, bertekad akan memberi fokus 100 peratus kepada kejohanan berprestij di rantau Asia Tenggara itu.

Ditanya mengenai persediaan pasukan menjelang Piala Suzuki AFF yang sekarang ini dikritik kerana permainan kurang memberangsangkan dalam perlawanan persahabatan, Khairul Fahmi berkata, moral mereka masih lagi tinggi dan berjanji akan memberikan persembahan terbaik.

"Semua pemain tetap bersemangat menjelang perlawanan menentang Singapura Ahad ini dan harap semua penyokong bersama sehingga kejohanan ini bermula," katanya.

Dalam pada itu, beliau menambah: "Selepas pengumuman ini terjawab teka-teki hubungan saya dengan Nur Eilunie Natasha Nazri atau lebih dikenali dengan Leuniey, namun fokus saya tetap pada AFF."

Jelasnya, segala persiapan sekarang berjalan lancar dan diuruskan oleh keluarga, pengurus dan bakal isterinya tatkala dia sibuk menjalani latihan bersama skuad kebangsaan.

"Jika ada masa terluang saya turut bersama-sama membantu dalam persediaan perkahwinan ini dan akan menumpukan sepenuhnya selepas perlawanan akhir Piala AFF Suzuki," jelas Khairul Fahmi yang optimis mereka akan mara ke perlawanan akhir sekali lagi.

Kempen skuad kebangsaan akan bermula Ahad ini menentang Singapura di Stadium Nasional Bukit Jalil dan perlawanan akhir kedua kejohanan ini akan berlangsung pada 22 Disember enam hari sebelum tarikh pernikahan Khairul Fahmi.

Majlis akad nikah akan berlangsung di Tumpat, manakala resepsi pula 30 Disember ini di Kota Bharu, diikuti resepsi sebelah pengantin lelaki pada 5 Januari juga di Kota Bharu dan majlis resepsi khas pada 13 Januari depan.

Pengenalan antara Khairul Fahmi dan Leuniey difahamkan bermula sejak Mac lalu dan kedua-duanya mula serius Oktober seterusnya memutuskan untuk menamatkan zaman bujang.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...