KUALA LUMPUR - Masalah kesihatan dan isu perpindahan Norshahrul Idlan Talaha tidak menggusarkan pengendali skuad kebangsaan, Datuk K. Rajagobal, malah yakin penyerang terbaik Liga Malaysia 2012 itu akan terus menyinar dalam baki perlawanan Piala Suzuki AFF.
Penyerang kebangsaan itu difahamkan mengalami masalah jangkitan di bahagian telinga menyebabkan dia hilang keseimbangan badan, muntah-muntah serta pening kepala.
"Dia memang mengalami masalah kesihatan, namun ia bukanlah benda baru kerana perkara ini berlaku sejak dua minggu yang lalu. Bagaimanapun kita dapat lihat sendiri dia beraksi dengan cemerlang pada perlawanan menentang Singapura Ahad lalu," katanya pada sidang akhbar di sini, semalam.
Jelasnya, selepas perlawanan menentang tamat perlawanan tersebut barulah Norshahrul mengadu kepadanya bahawa dia berasa tidak sihat dan menasihatkannya untuk berjumpa dengan pakar bagi mengetahui keadaan kesihatannya dengan lebih lanjut.
Norshahrul juga tidak turun menjalani latihan di sebelah petang di Wisma Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), semalam dan pada sebelah pagi pula dia berada di bangunan badan bola sepak negara itu untuk mengetahui keputusan statusnya bersama pasukan Kelantan.
"Saya harap ia tidak akan mengganggu persembahannya, seperti mana yang kita sedia maklum sebelum ini Norshahrul perlu menguruskan hal perkahwinannya sehari sebelum perlawanan akhir Piala AFF Suzuki 2010, namun selepas itu dia kembali dengan prestasi yang mantap.
"Apa pun saya akan bertanyakan kepada doktor tentang tahap kesihatannya malam ini (semalam), saya harap dia tidak diketepikan dalam skuad kebangsaan dalam masa terdekat ini," kata Rajagobal.
Ditanya mengenai fokus Norshahrul yang dalam masa yang sama juga perlu menyelesaikan masalah perpindahannya dari Kelantan ke Johor, Rajagobal berkata, dia sudah berjumpa dengan bekas penyerang Perak, Negeri Sembilan dan UPB-MyTeam itu untuk membincangkan perkara tersebut.
"Dia perlu menyelesaikan perkara tersebut pagi ini, tetapi saya sudah bercakap dengannya bahawa fokus utamanya tidak boleh lari. Kita juga dapat lihat sendiri ketika bertemu Singapura dia mempamerkan aksi mengagumkan.
"Saya akan berjumpa dengannya sekali lagi tetapi perkara ini tidak akan mengganggu fokusnya. Saya tidak mahu terlalu mengawalnya sedangkan dia perlu menyelesaikan masalah tersebut secepat mungkin. Ini juga tidak bermaksud bahawa saya tidak menjaga pemain saya," katanya.
No comments:
Post a Comment