Saturday, November 10, 2012

Tagih sokongan peminat lonjak semangat


Harian Metro

SOKONGAN peminat amat diharapkan ketika tugasan getir menanti skuad negara mempertahankan kejuaraan Piala AFF bermula 25 November ini.

Malah dalam tempoh dua minggu sebelum temasya dwitahunan ini membuka tirai, sokongan peminat turut ditagih barisan pemain negara selepas mengalami dua kekalahan (kepada Vietnam dan Thailand) dalam persiapan fasa akhir mereka.

“Sebagai pemain, saya mengaku sokongan peminat penting bagi melonjakkan semangat untuk berjuang,” kata pemain pertahanan negara, Mahali Jasuli.


Pemain yang meraih pingat emas Sukan Sea 2009 dan 2011 selain Piala AFF 2010 itu turut bersikap terbuka dengan segala kritikan dan pandangan dilemparkan kepada skuad negara selepas beberapa keputusan aksi persahabatan yang kurang meyakinkan.

“Saya sudah lali (kritikan) dengan perkara seperti ini dan bagi saya, paling penting adalah meneruskan sikap positif,” kata bekas kapten Harimau Muda A yang bakal menyarung jersi Selangor musim depan.

Kini tumpuan diri dan rakan sepasukan lain adalah mencatatkan keputusan positif menentang Hong Kong dan meneruskan rentak itu menghadapi saingan Kumpulan B menentang Singapura pada 25 November ini.

Pemain pertahanan kanan negara itu turut berazam memastikan dirinya berada dalam senarai terakhir pengendali negara, Datuk K Rajagobal bagi mempertahankan piala kebanggaan bola sepak Asia Tenggara itu.

“Saya tidak punya pilihan selain perlu bekerja keras kerana saingan merebut tempat di bahagian pertahanan agak sengit,” katanya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...